Pelaburan bertujuan menyokong fasa pertumbuhan semasa syarikat permulaan (startup) yang merancang untuk melancarkan 'neobank (bank digital) beretika' menggunakan platform Wahed.

WAHED Inc. (Wahed), syarikat teknologi kewangan Islam global berpangkalan di New York, hari ini mengumumkan Wa’ed Ventures, cabang modal teroka di Pusat Keusahawanan Saudi Aramco (Wa’ed), mengetuai pusingan pembiayaan dana Siri B sebanyak AS$50 juta dengan HSBC yang dilantik sebagai penasihat kewangan utama.

Pelabur lain yang turut menyertai pembiayaan kali ini, termasuk pemain bola sepak Paul Pogba yang juga telah menyertai Wahed sebagai duta jenama terbaru mereka turut serta pejabat dan institusi keluarga strategik.

Pelaburan kali ini bertujuan menyokong fasa pertumbuhan semasa syarikat permulaan (startup) yang merancang untuk melancarkan ‘neobank (bank digital) beretika’ menggunakan platform mereka dalam masa terdekat. Ia akan membolehkan pengguna memenuhi keperluan perbankan dan pelaburan dalam satu “Super App” tanpa menjejaskan nilai mereka.

Pengasas syarikat teknologi kewangan Truebill, Haroon Mokhtarzada; Pengerusi Enhesa, William Haney dan bekas Pengarah Securities and Exchange Commission (SEC), Lori Richards juga telah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Wahed untuk membantu fasa pertumbuhan ini.

William Haney berkata: “Saya sangat teruja untuk menyertai misi Wahed bagi merapatkan jurang kekayaan melalui nilai, kewangan dan teknologi. Alat digitalnya mempunyai potensi besar untuk menjadikan dunia kewangan lebih mudah diakses oleh mereka yang terpinggir sebelum ini. Saya berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ini dalam jangka masa panjang.”

Kini, Wahed menawarkan para individu peluang untuk melabur wang mereka secara beretika dengan cara yang cepat, mudah dan berpatutan. Wahed telah mendapat sokongan secara berterusan sejak penubuhannya di Amerika Syarikat dengan lebih 300,000 pelanggan di seluruh dunia, merentasi semua entiti Wahed.

BERITA BERKAITAN Paul Pogba sertai syarikat fintech Islam, Wahed sebagai duta jenama

“Populariti pesat penyelesaian fintech dan pengaruhnya dalam memajukan celik kewangan serta penglibatan lebih banyak pihak di seluruh dunia telah mewujudkan keperluan mendesak yang tepat untuk kewujudan produk fintech yang beretika dan mudah diakses untuk para pelabur individu,” kata Pengarah Urusan Wa’ed, Fahad Alidi.

“Pemimpin syarikat fintech seperti Wahed mengakui peranan penting yang mereka mampu sumbangkan di peringkat global dan cita-cita mereka untuk merealisasikan visi itu yang membuatkan kami bangga untuk bekerjasama dengan pasukan perintis sambil berusaha untuk membuka potensi industri kewangan digital,” katanya.

Pemegang saham kekal syarikat yang lain termasuk Cue Ball Capital, Dubai Cultiv8 dan Rasameel.

Rakan kongsi di Cue Ball Capital, Ali Rahimtula mengulas: “Pelaburan ini akan membantu menyokong misi Junaid Wahedna (pengasas Wahed) dan pasukannya untuk membawa perkhidmatan kewangan kepada demografi yang penting tetapi kurang mendapat perhatian sebelum ini. Kami menantikan fasa pertumbuhan Wahed yang seterusnya.

Wa’ed adalah cabang keusahawanan Saudi Aramco dan merupakan salah satu pelabur modal teroka institusi terbesar untuk syarikat permulaan berpangkalan di Arab Saudi, menyediakan sokongan dari awal hingga akhir dari segi memberi bimbingan, inkubasi dan dana modal teroka.

Ditubuhkan oleh Saudi Aramco pada 2011, Wa’ed ialah pemboleh penting untuk kepelbagaian ekonomi melalui cabang Wa’ed VC, Wa’ed Ventures, yang menyelia AS$200 juta dalam aset dan portfolio lebih 30 syarikat yang berpangkalan di Saudi. Berpusat di Dhahran, Arab Saudi, Wa’ed ialah syarikat usaha niaga milik penuh Saudi Aramco. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Wa’ed, layari laman web: www.waed.net