Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, gamit memori dengan lagu malar segar

Dari Penulis

JIKA anda melayari usia muda ketika zaman pertengahan 90-an, pasti anda pernah dibuai dengan lagu-lagu jiwang bersifat ‘slow rock’ yang amat popular ketika itu.

Apabila menonton Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun yang berlangsung di Istana Budaya, semalam, ia bagaikan menggamit semula kenangan itu. Kira-kira 1,000 penonton hadir memenuhi dewan Panggung Sari bagi menyaksikan persembahan kumpulan popular itu.

Malam itu, selama tiga jam U.K’s mempersembahankan kebanyakan lagu-lagu hits mereka yang banyak mengimbau nostalgia.

Pembukaan konsert dimulakan dengan persembahan lagu Kau Satu-Satunya diikuti medley lagu Kembali Mencari, Membara dan Berkat Kasihmu.

Penonton terus dihiburkan dengan lagu-lagu berhantu kumpulan ini seperti Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Seksa, Sebak, Bila Diri Disayangi, Siapa Yang Rampas Cintamu, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan banyak lagi.

Malah, dalam satu segmen khas, U.K’s turut menghargai jasa komposer terkenal Saari Amri yang menaikkan nama mereka sepanjang lebih 30 tahun berada dalam indusri muzik tanah air.

Malah, Amir turut mengambil peluang istimewa itu untuk berduet dengan Saari menerusi lagu Kita Sama Sahaja.

Selain itu, segmen tersebut turut menghargai jasa dan bakti Allahyarham Idzahar Azwa Daud yang merupakan penyusun muzik dalam semua album U.K’s.

Pada malam itu, Strings Chamber dari Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia (OSK) mengiringi persembahan muzik.

Ditemui pada sidang media selepas konsert berakhir, Amir mengakui konsert kali ini menguji kemampuan mereka.

“Bukan senang, maklumlah semua dah berumur lebih 50 tahun. Tapi, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” kata Amir yang menyatakan mereka sudah membuat latihan untuk konsert ini sejak bulan Disember lalu.

Malah, beberapa hari sebelum persembahan, Amir meminta doktor datang ke Istana Budaya untuk memeriksa keadaan tekaknya kerana risau luka akibat terlalu banyak berlatih.

“Doktor iaitu pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) datang periksa. Kamera dimasukkan ikut hidung untuk lihat keadaan tekak saya apakah ada bengkak atau luka sebab saya banyak berlatih.

“Ada sikit luka. Memang saya risau sebab takut akan menganggu vokal. Alhamdulillah, dengan ubat dan rehat yang cukup, saya mampu buat persembahan dengan baik,” kata Amir yang menyampaikan 25 buah lagu dalam konsert itu.

Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof memberitahu, konsert ini adalah permulaan baru untuk U.K’s terus aktif di masa akan datang. Mereka juga mempunyai rancangan untuk mengadakan konsert di Indonesia dan Singapura di masa akan datang.

Ia tidak mustahil kerana di zaman kegemilangan U.K’s dahulu, lagu-lagu hits mereka turut popular di negara jiran. Malah, lagu-lagu mereka bersifat malar segar dan masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.

Sekadar tambahan, U.K’s di bawah pimpinan Saari Amri pernah melakar sejarah menghasilkan album-album yang jualannya mencecah ratusan ribu unit.

Album Bisa Berbisa yang dihasilkan pada tahun 1995 adalah rekod paling cemerlang apabila jualan album itu mencapai 400,000 ribu unit, membuatkan kumpulan ini memegang jualan album paling tinggi sebelum rekod itu dipotong oleh Raihan pada tahun 1996.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Baby Shima angkat Bahasa Iban dalam Asai Ke Mimpi, tanda penghargaan buat Sarawak

Penyanyi popular, Baby Shima dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik apabila tampil dengan single berbahasa Iban berjudul Asai...

More Articles Like This