SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan media malam ini, SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar.

Ia seperti yang dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

“Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Susulan laporan itu, Muhyiddin semalam dengan tegas menafikan pernah menerima wang tunai RM1.3 juta daripada syarikat UKSB seperti yang dibangkitkan seorang saksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari syarikat UKSB, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.