JUARA lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan lagi kedudukan teratas Liga Super, selepas membenam Petaling Jaya (PJ) City FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan sejak permulaan perlawanan, menyaksikan gol pendahuluan hadir menerusi penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva pada minit ke-23.

Selang tiga minit kemudian, JDT terus meningkatkan jurang apabila sepakan percuma Fernando Martin Forestieri menepati sasaran pada minit ke-26.

Bersambung babak kedua, pemain sensasi JDT, Bergson sekali lagi membolosi gawang PJ City FC pada minit ke-65.

Lima minit sebelum wisel penamat, skuad kendalian Benjamin Mora terus menambah derita buat pasukan pelawat apabila Fernando sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-85.

Sementara itu, Selangor FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila sekadar seri 1-1 menentang Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

BERITA BERKAITAN Tunku Ismail kembali terajui, kendalikan JDT

Skuad Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan baik menerusi jaringan minit ketiga daripada penyerang sensasi dari Brazil, Herlison Caion yang melengkapkan hantaran daripada pemain muda Mukhari Ajmal Mahadi.

Namun, Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua apabila pemain sayapnya, Saddil Ramdani berjaya mengawal bola dengan kemas serta mengelirukan pasukan pertahanan Selangor sebelum menyudahkan gol melalui ledakan padu pada minit ke-53.

Keputusan malam ini menyaksikan JDT kekal di tangga teratas dengan 22 mata selepas lapan perlawanan, diikuti Sabah dengan 19 mata daripada sembilan perlawanan, manakala Selangor (12 mata) dan PJ City (sembilan mata)  masing-masing berada di kedudukan keenam dan kesembilan.

— BERNAMA