
SUDAH 48 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan sejak 1 Februari 1974. Sesiapa yang lahir pada waktu penubuhannya kini sudah menjadi insan separuh abad. Sepanjang perjalanan hidup, mereka dapat menyaksikan sendiri kemajuan yang dicapai ibu kota sejak 48 tahun lalu.
Sebaik menerima status Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang merupakan bekas ibu negeri Selangor, ditadbir secara langsung oleh kerajaan Malaysia, di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Selepas itu dua buah lagi Wilayah Persekutuan ditubuhkan, iaitu Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Februari 2001.
Dalam tempuh hampir lima dekad Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, ia bergerak maju sebagai ibu negara Malaysia dan pusat ekonomi negara. Ia juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran negara sebelum berpindah ke Putrajaya pada 1999.
Tiada apa masalah dengan status Kuala Lumpur sekarang. Namun kini tiba-tiba muncul cadangan agar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditukar status menjadi sebuah negeri berdaulat seperti negeri-negeri lain di Malaysia. Cadangan disuarakan oleh Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng.
Dengan perubahan status itu, katanya, Kuala Lumpur akan berfungsi sama seperti negeri lain yang mempuyai Dewan Undangan Negeri (DUN) serta mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Rakyat memilih ADUN melalui pilihan raya. Menteri Besar pula bakal dilantik menjadi ketua kerajaan.
Tidak pernah terlintas cadangan seperti ini ditimbulkan. Cadangan oleh wakil rakyat DAP ini bererti cuba mengembalikan status Kuala Lumpur kepada keadaan sebelum diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.
Sebelumnya Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada negeri Selangor dan merupakan ibu negeri Selangor, serta berkongsi sebagai ibu kota Malaysia. Kini wakil DAP mahu Kuala Lumpur dijadikan negeri. Apa justifikasi untuk menukar status ini? Mungkin lebih kerana tujuan politik.
Dengan pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pentadbiran Kuala Lumpur beralih kepada kerajaan pusat, diterajui oleh Menteri Wilayah Persekutuan. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), diketuai oleh Datuk Bandar.
BERITA BERKAITAN PM ucap selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2022
Selama ini tiada masalah timbul. Ibu negara terus maju dan makmur di bawah kerajaan pusat. Sebagai Wilayah Persekutuan dan ibu negara, ibu kota berkembang pesat sejajar dengan kedudukannya sebagai sebuah kota metropolitan yang terkenal di seluruh dunia, di samping memainkan peranan sebagai pusat ekonomi negara dengan berkesan.
Malah dengan kedudukannya sebagai ibu negara dan pusat ekonomi, Kuala Lumpur sebenarnya lebih sesuai ditadbir oleh kerajaan pusat sebagai ibu negara khusus dan tersendiri, bukan ‘menumpang’ kepada Selangor seperti sebelum ini.
Kesediaan Selangor menyerahkan Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat adalah satu pengorbanan yang sangat disanjung tinggi. Selangor kemudian menyerahkan pula kawasan Perang Besar untuk dibangunkan sebagai Putrajaya, pusat pentadbiran negara pada 2001.
Konsep Wilayah Persekutuan dalam negeri ini juga berlaku di negara lain seperti Amerika. Ibu kota Amerika, Washington DC atau District of Columbia asalnya adalah dalam negeri Virginia dan Maryland. Nama Washington adalah sempena Presiden Amerika pertama, George Washington.
Selama beberapa dekad Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, berperanan sebagai ibu negara dan pusat ekonomi, ia mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bandar raya besar di dunia. Pentadbirannya lebih lancar dan tersusun di bawah kerajaan pusat. Jadi apa perlunya ia hendak ditukar menjadi sebuah negeri?
Kerana itu cadangan yang dikemukakan tidak wajar pun diberi perhatian, apatah lagi pertimbangan. Keadaan sedia ada sudah cukup baik. Kuala Lumpur tidak perlu diganggu. Tidak perlu mewujudkan sebuah negeri baharu dalam Malaysia.
Kerajaan ada alasan tersendiri menjadikan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan. Dengan menjadikan ketiga-tiga wilayah ini sebagai Wilayah Persekutuan, pelarasan pentadbiran Kuala Lumpur sebagai ibu negara lebih mudah dikendalikan. Begitu juga di pusat pentadbiran Putrajaya.
Labuan, sebelumnya sebahagian negeri Sabah, pula merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangasa (IBFC) yang tentunya lebih mudah dikawal selia oleh kerajaan pusat dalam memastikan fungsinya berjalan lancar.
Biarlah kelancaran pentadbiran berterusan tanpa diganggu dengan cadangan yang tidak relevan. Kerajaan tidak harus melayan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah negeri. Biarkan ibu negara terus membangun sebagai ibu kota kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
Siapa juga yang mengemukakan cadangan menukar status Kuala Lumpur lebih baik memberi cadangan untuk meningkatkan martabat ibu kota agar ia lebih maju, warga kota lebih sejahtera. Mereka sewajarnya memberi kerjasama dan sama-sama berusaha mempastikan matlamat ini tercapai. Lupakan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah negeri.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

