Oleh FATIN NADIAH KAMARUZAMAN dan DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD SOFIAN
BARU-BARU ini, tular satu video yang melibatkan penyanyi, Noki yang merupakan salah seorang ahli kumpulan K-Clique telah menerima gangguan seksual ketika ditemubual oleh salah seorang wartawan hiburan wanita.
Dalam satu forum mengenai pendedahan seksual yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini, bekas pensyarah UKM, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj @ Ramli menegaskan tentang definisi gangguan seksual iaitu perlakuan yang kurang disenangi melalui kata-kata, isyarat sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang biasanya dilakukan berulang-ulang.
Melalui sesi temubual itu, wartawan wanita tersebut bertanyakan kepada Noki tentang pemakaiannya dan meminta beliau menunjukkan badannya yang sasa di hadapan kamera. Noki terus menggeleng kepala tanda tidak setuju untuk melakukan perkara itu.
Dalam gelak tawa, secara tiba-tiba wartawan tersebut telah menyelak baju Noki sehingga menampakkan bahagian dadanya menyebabkan penyanyi itu terkejut dan menyatakan beliau tidak selesa dengan cara wartawan itu bergurau.
Kejadian itu turut mengundang kemarahan dan kecaman netizen sehingga wartawan itu tidak lagi berkongsi laman akaun sosialnya bersama orang awam.
Menurut pendapat salah seorang netizen di Twitter, dia menyatakan bahawa wartawan hiburan itu sepatutnya tidak melakukan perkara sebegitu kerana Noki kelihatan seperti tidak selesa.
Selain itu, ada juga netizen yang menyatakan tentang pentingnya adab dan etika sebagai seorang wartawan yang sepatutnya tidak melampaui batas dan tidak boleh memalukan mana-mana pihak yang ditemu bual.
Sebagai seorang Muslimah, seharusnya ada sifat malu dan mengelakkan untuk berkelakuan sebegitu. Dalam konteks Islam, sifat malu sangat berharga di sisi Allah kerana nilai malu itu dapat menghalang manusia daripada melakukan perkara yang buruk.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya setiap agama itu memiliki akhlak dan akhlak Islam itu adalah rasa malu (Riwayat Ibnu Majah).”
Sabda Rasulullah S.A.W. yang lain yang bermaksud:
“Malu dan iman itu bergandingan bersama, bila salah satunya diangkat maka yang lain pun akan terangkat (Riwayat Al-Hakim).”
Rasulullah telah memberikan teladan yang baik kepada kita yang mana malu adalah identiti akhlak Islam. Malu adalah mahkota kemuliaan khas untuk seorang Muslimah, yang akan membuatkan dirinya dihormati dan dimuliakan.
BERITA BERKAITAN “Kena jaga diri sendiri…,” – Hujan jawab isu gangguan seksual ‘mosh pit’
Dalam isu ini, jelaslah wartawan hiburan tersebut telah memalukan diri sendiri. Beliau mungkin merasakan bahawa perkara yang dilakukan itu adalah bahan gurauan yang boleh diterima sedangkan kelakuannya itu telah pun mengaibkan penyanyi itu.
Berdasarkan air muka Noki, sememangya beliau berasa malu dan tidak selesa tetapi tetap harus bersikap profesional sebagai selebriti dengan mengawal riak muka di hadapan kamera supaya keadaan tidak menjadi kekok.
Dalam hal ini, siapa yang harus dipersalahkan?
Sejujurnya, wartawan hiburan tersebut harus dipersalahkan kerana bertindak secara berlebihan dan telah melanggar etika sebagai seorang wartawan dan adab sebagai seorang Muslimah.
Sebagai seorang wartawan yang beretika dan terpelajar, beliau seharusnya bertindak matang dan tahu menjaga batas terutamanya hal kerja yang melibatkan berlainan jantina. Isu ini tidak sepatutnya terjadi lagi dan menjadi pengajaran kepada wartawan dan masyarakat yang lain.
- ARTIKEL sumbangan Fatin Nadiah Kamaruzaman yang Mahasiswa Tahun Tiga Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Dr. Muhammad Raqib Mohd Sofian, Pensyarah Kanan Program Komunikasi (Kewartawanan) di Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, USIM

