SEORANG lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan selepas melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah pasaraya di Gerik, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Samad Othman berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.57 petang.
Katanya, hasil siasatan mendapati pengadu seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun yang sedang bekerja telah terdengar bunyi zip sedang di buka kira-kira pada jam 3.33 petang.
Jelas beliau, pengadu pergi melihat dan mendapati seorang lelaki sedang membuat gangguan seksual dengan memegang kemaluannya sambil memandang ke arah pengadu.
“Pengadu mengambil tindakan dengan merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit serta memarahi suspek.
“Setelah itu suspek terus keluar dari pasaraya tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Samad berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah berjaya mengesan dan membuat tangkapan terhadap suspek.
Katanya, polis akan memohon perintah tahanan reman pada 24 April bagi menjalankan siasatan selanjutnya.
Jelas beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

