WALAUPUN berazam untuk membalas dendam selepas ditewaskan dalam perlawanan Piala FA pusingan kedua minggu lalu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sekali terpaksa berputih mata apabila tewas kepada gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC).

Dalam perlawanan malam ini, TFC tidak memberi peluang kepada Kedah untuk membawa pulang sebarang mata apabila mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri, selain mendaki satu anak tangga liga di kedudukan keempat menolak skuad Kenari ke tempat kelima liga.

TFC bermula garang apabila berjaya mendahului dengan jaringan pertama pada minit ke-13 melalui jaringan bekas penyerang pelawat, Kpah Sherman.

BERITA BERKAITAN Piala FA: Terengganu FC mara ke suku akhir, tewaskan Kedah 1-0

Jaringan itu berpunca daripada gerakan pemain tengah, Petrus Shetembi yang melorongkan bola kepada Faisal Halim sebelum pemain itu melakukan hantaran silang di sebelah kiri pintu gol pelawat yang disambar Sherman.

Pada minit ke-23, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, tapi gagal disempurnakan penyerang utamanya, Wanja Ngah yang menolak tinggi melepasi palang gol biarpun hanya berdepan dengan penjaga gawang, Mohd Suhaimi Husin.

Skuad Kenari juga mendapat satu lagi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan kencang Muhammad Arif Farhan MD Isa dari luar kotak penalti pada minit ke-36 hanya menggegarkan palang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Sedar banyak gerakan tidak menjadi, Aidil Sharin melakukan tiga pertukaran serentak bermula pada babak kedua dengan memasukkan Azammuddin Akil, Mohd Fayadh Mohd Zulkifli dan Mohamad Heshamudin Ahmad bagi menggantikan kapten, Mohd Syazwan Zainon, Asnan Ahmad dan Muhamad Kamil Akmal Abd Halim, namun masih gagal memburu gol penyamaan.

Sebaliknya tuan rumah yang mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan mengelirukan Ott dari luar kotak penalti pada minit ke-57 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Pada masa kecederaan, pemain gantian, Azammuddin berjaya merapatkan kedudukan 2-1, bagaimanapun kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram