EMPAT disahkan maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal serta dua buah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown pukul 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram pada pukul 4.30 pagi.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan sebelum merempuh antara satu sama lain.
“Dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Waja yang berada di tempat kejadian turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, setakat ini seramai tujuh mangsa yang terlibat dikenal pasti berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.
Ujarnya, tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadiaan dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Mereka yang maut ialah Muhammad Eizreel Muhammad Roszaidi, 25, Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul,19, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17,” katanya.
Tambahnya, tiga lagi mangsa masing-masing kini berada di zon merah dan zon kuning hospital terbabit.
Baca artikel berkaitan : Pekerja kilang cemas bas dinaiki terbakar sebelum bergerak sendiri
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram kerana ianya bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

