PENGHANTAR makanan yang didenda sebanyak RM50,000 oleh Mahkamah Seksyen Sepang hari ini dihantar menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas gagal membayar denda.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
UtusanTV sebelum itu melaporkan Mohd Nor’ Muzil mengaku bersalah memuat naik kandungan video menghina agama Islam di saluran media sosial YouTube miliknya pada Sabtu lalu.
Baca artikel berkaitan : Penghantar makanan buat hantaran jelik hina Islam didenda RM50,000
Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor’ Muzil yang didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi YouTube dengan niat menyakiti hati orang lain pada 11.14 malam, 16 Julai lepas di hadapan Shell, Cyberjaya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nor Azizah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
“Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Jika dikenakan hukuman ringan, tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama.
“Dalam kes ini, hukuman berat perlu dikenakan setimpal dengan kesalahan. Tertuduh telah menimbulkan kemarahan orang awam apabila terdapat lebih 20 laporan polis malah tertuduh juga diburu orang awam untuk dipukul,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Rizki.
Hakim Ahmad Rizki menasihatkan tertuduh agar menginsafi kesalahan yang telah dilakukan serta bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

