Tunku Zain Al-‘Abidin dimasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

YANG Dipertuan besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan putera keduanya, Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar dalam satu istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Istiadat tersebut dimulakan dengan Tuanku Muhriz berkenan mengisytiharkan dan menyerahkan watikah dan pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kepada Tunku Zain Al-‘Abidin.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Pemasyhuran itu dibuat bagi mengisi kekosongan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Dalam pada itu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memaklumkan, Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan bahawa Tunku Zain Al-‘Abidin selaku Tunku Panglima Besar akan terus memainkan peranan penting menjunjung kedaulatan institusi diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat serta negeri.

Tunku Zain Al-‘Abidin, 44, diputerakan pada 1982, merupakan pendukung pemulihan perlembagaan dan reformasi institusi di Malaysia yang komited ke arah pembinaan sebuah negara lebih adil dengan setiap rakyat Malaysia diberi peluang saksama untuk maju dan berjaya.

Baginda kemudian mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom dan London School of Economics and Political Science serta memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan.

Tunku Zain Al-‘Abidin kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan, baginda secara aktif memperjuangkan akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti, pembelajaran holistik dan pembentukan pemimpin masa depan yang seimbang.

Selain itu, baginda juga adalah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) selain mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat iaitu di Rawang, Nilai dan Port Dickson serta IDEAS International Secondary School di kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dalam dunia korporat, Tunku Zain Al-‘Abidin berkhidmat sebagai Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan EnotechPictures selain Ahli Lembaga Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation, dan Uni Enrol serta Penasihat kepada Kumpulan UCSI.

Tunku Zain Al-‘Abidin juga adalah Pemegang Amanah bagi beberapa yayasan termasuk Yayasan Chow Kit, Yayasan Munarah, Yayasan IDEAS, Yayasan Genovasi dan Yayasan Tinggi dengan kebanyakannya menyokong pendidikan, pembangunan belia dan pemerkasaan komuniti.

Penyokong kuat seni dan budaya, baginda adalah seorang pemain piano dan pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia selain mengetuai projek utama untuk memberikan nafas baharu kepada lagu kebesaran Negeri Sembilan serta mengarang sebuah buku memperingati pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Sejak 2008, baginda aktif menulis ruangan akhbar dengan menerbitkan beberapa buku hasil kompilasi artikelnya.

Tunku Zain Al-‘Abidin pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta merupakan seorang Eisenhower Fellow.

Baginda juga meminati sukan raket dan berkhidmat sebagai Presiden Emeritus Persatuan Squash Negeri Sembilan serta Penasihat Persatuan Tenis Negeri Sembilan dan Persatuan Pickleball Negeri Sembilan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dua suspek curi peti wang penjual nasi lemak direman hingga 12 Jun

DUA lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian peti wang dan telefon bimbit milik seorang penjual nasi lemak di...

More Articles Like This