Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Hab Digital Ketereh sambil diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh. GAMBAR: BERNAMA

HAB Digital Ketereh yang dibangunkan dalam usaha kerajaan membantu usahawan setempat memperluaskan lagi pasaran mereka ke seluruh negara dan dunia melalui platform digital, hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Kota Bharu.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin berkata, pembangunan hab itu merupakan hasil usahasama YTL Communications dan Shopee bersama-sama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau berkata, latihan serta kemudahan yang disediakan di hab itu juga memberi peluang kepada usahawan dan peniaga kecil yang terpilih dari Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) untuk mendapat latihan, menghasilkan kandungan, dan memperoleh pendedahan menggunakan platform dalam talian yang membolehkan akses kepada pasaran global.

“Hab Digital Ketereh ini bakal dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, kemudahan studio fotografi, studio live streaming dan penyuntingan video,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Bekwoh sempena Jelajah AKM Kelantan dan Perasmian Hab Digital Ketereh serta Sesi Percubaan Perkhidmatan 5G di Dewan Tun Abdul Gaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat, di Ketereh.

Perdana Menteri tiba bagi merasmikan hab berkenaan pada pukul 12.20 tengah hari dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Baca artikel berkaitan: PM lawat reruai, santuni rakyat di Jelajah AKM Kelantan

Pada majlis sama Ismail Sabri turut melancarkan teknologi 5G yang menyaksikan Ketereh dipilih menjadi lokasi luar bandar pertama di Malaysia sebagai projek rintis untuk perkhidmatan internet berkelajuan tinggi itu.

Zulkarnain berkata perkhidmatan teknologi internet 5G yang merupakan inisiatif kerajaan bersama Digital Nasional Berhad dengan Telekom Malaysia Berhad dan YTL Communications, akan memberi peluang kepada masyarakat menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi.

Katanya teknologi 5G merupakan ‘game changer’ dan bakal membawa perubahan kepada rakyat dengan gaya hidup lebih pintar dan efisien seperti kemudahan internet berkelajuan tinggi bagi membolehkan pelbagai aktiviti dalam talian seperti e-dagang, penstriman video serta menjadikan pengalaman pembelajaran dan latihan secara maya lebih menarik.

“Perkhidmatan 5G ini menawarkan kelajuan internet sehingga melebihi 1,000 Megabit per saat kepada pengguna berbanding 35 Megabit per saat bagi teknologi 4G. Teknologi 5G ini memiliki kemampuan kelajuan internet pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding 4G.

“Aplikasi 5G mempunyai kadar lengahan rendah serta berupaya menghubungkan lebih satu juta peranti bagi satu kilometer persegi,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram