Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran

MAHASISWA dinasihatkan untuk menggunakan platform yang betul untuk menyampaikan buah fikiran berkenaan isu kenaikan harga barang dan bukan menerusi demonstrasi jalanan.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, golongan mahasiswa diharapkan mempunyai kaedah yang dianggap ‘profesional’ dan daya pemikiran kritis dalam menyelesaikan pelbagai masalah.

Beliau berkata, hal itu kerana mahasiswa merupakan pelapis kepada generasi akan datang dan waris kepemimpinan untuk menentukan hala tuju negara.

“Kita sedia maklum kerajaan sudah menggunakan pelbagai kaedah untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang, justeru sekiranya mahasiswa mahu membantu kerajaan, demonstrasi jalanan atau kaedah yang bercanggah dengan peraturan bukanlah jalan terbaik untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Sebagai mahasiswa, mereka mempunyai pelbagai platform yang dibenarkan untuk bersama-sama kerajaan dan masyarakat untuk mengetengahkan mekanisme sesuai, misalnya menerusi majlis perwakilan pelajar (MPP) yang mana kita mempunyai 20 MPP di universiti awam dan ratusan MPP di institusi pengajian tinggi swasta.

“Sekiranya wakil mahasiswa dapat duduk bersama dengan kerajaan boleh mendapatkan kaedah terbaik dalam membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Peserta Perhimpunan #Turun bantah kenaikan harga barangan akan dipanggil polis

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kenaikan harga barang di Malaysia bukanlah satu kes yang terpencil kerana ia berlaku di peringkat global sama ada negara maju atau membangun, malah ada negara yang harga barangannya naik sehingga 70 peratus.

Jadi, katanya, diharapkan seluruh masyarakat bersatu dan bekerjasama untuk membantu kerajaan dalam menangani isu terbabit dan mahasiswa boleh terbabit dengan memberi idea yang terbaik.

“Selain itu, mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mereka yang mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar tidak munasabah tatkala kerajaan giat berusaha menangani masalah ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram