SEORANG anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) disyaki membayar upah sehingga 120 juta rupiah (RM35,746) kepada kumpulan pembunuh untuk menembak isterinya.
CNN Indonesia melaporkan, Ketua Polis Daerah Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Ahmad Luthfi berkata, Koperal Dua atau Kopda Muslimin menyuruh orang menembak isterinya karena dipercayai mempunyai kekasih lain.
Muslimin membayar upah tersebut semasa dia menunggu isterinya di hospital setelah menerima rawatan selepas kejadian tembakan itu.
“Di hospital, suami mangsa menghubungi pelaku untuk menyerahkan upah. Suami mangsa kemudian memberikan wang itu di sebuah pasar mini 300 meter dari hospital.
“Pelaku menerima 120 juta rupiah (RM35,746) sebagai pampasan,” kata Luthfi dalam sidang media.
Muslimin menyuruh orang menembak isterinya kerana dipengaruhi hubungan cinta dengan wanita lain.
“Jadi ada lapan saksi yang disiasat, di antaranya W iaitu kekasihnya,” katanya.
Luthfi berkata, setelah mengarahkan sejumlah orang menembak isterinya, Muslimin mengajak W untuk melarikan diri namun wanita itu enggan.
Katanya, dalam kes itu, polis menahan lima orang suspek dan Luthfi meminta Muslimin agar menyerahkan diri.
“Kami meminta suami mangsa menyerah diri atau polis mengambil tindakan tegas terhadapnya,” katanya.
Sementara itu, Rina yang terkena dua das tembakan di perut kini sedang dirawat di hospital.

