KOMPOSER dan gitaris Awang BPR dituntut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Impact Music & Entertainment selepas didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah.

Pemilik syarikat tersebut iaitu Rahimah menafikan dirinya seorang yang tidak amanah.

“Impact Music & Entertainment menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan yang dibuat oleh Awang BPR dan kami meletakkan beban bukti yang kukuh ke atas Awang BPR untuk membuktikan setiap dakwaannya di mahkamah.

“Kenyataan tersebut adalah satu tohmahan liar dan fitnah jahat yang bertujuan untuk memburukkan imej syarikat kami sebagai salah sebuah syarikat pengiklanan dan pemasaran.

“Harga asal penjualan tiket bagi dua meja VIP ke Singapura bertujuan untuk mempromosikan Showcase Awang BPR dan Rakan-Rakan & Makan Malam Amal yang berlangsung pada 24 Jun di Loon Sing Convention Centre adalah berharga RM8,000.00 dan telah pun diserahkan kepada Awang BPR pada 2 Jun lalu.

“Pihak kami tidak pernah sama sekali menerima, mengambil atau menggunakan atau apa jua faedah dan hasil daripada penjualan tiket tersebut melainkan dari apa yang telah dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan media.

Emma menafikan dirinya penipu seperti yang didakwa oleh Awang BPR

Malah, Rahimah yang juga penyanyi era 90-an itu juga menegaskan syarikatnya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan sebarang invois syarikat bagi apa-apa tujuan sekalipun.

“Pihak kami juga telah pun membuat satu laporan polis pada 19 Julai bertujuan menyiasat pihak yang telah menyalahgunakan dan atau memalsukan invois kami dan seterusnya menerima manfaat daripadanya.

“Pihak kami telah menjalankan tanggungjawab sepertimana yang telah dipersetujui di antara Impact Music dan NS Creative Management. Segala urusan adalah diantara Impact Music dan NS Creative Management,” jelasnya lagi.

Ujar Rahimah atau Emma Rocker lagi, Awang BPR sebagai seorang yang muflis seharusnya berterima kasih kepada pihak yang membantu menaikkan namanya semula dan bukannya memburukkan serta menyebarkan fitnah kepada pihak lain.

“Kes ini sepatutnya boleh diselesaikan secara baik namun Awang BPR telah memilih untuk mensensasikannya maka pihak kami tidak mempunyai langkah lain melainkan menyerahkannya kepada pihak peguam dan undang-undang.

“Pihak kami juga ingin mencabar Awang BPR untuk memfailkan tindakan mahkamah terhadap kami sekiranya segala dakwaannya itu benar.

“Sekiranya tiada tindakan undang-undang difailkan maka kami menuntut satu permohonan maaf secara terbuka dibuat pada atau sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi temu bual bersama Melodi, Awang menyuarakan rasa tertipu apabila syarikat pemasaran dan pengurus acara telah melakukan pecah amanah dan mengaut keuntungan peribadi atas jual tiket showcase.

Awang atau nama sebenarnya Norzaini Mohammad menganjurkan showcase Perjalanan Seni Awang Dan Rakan-Rakan serta Makan Malam Amal pada 24 Jun lalu.

Awang mendedahkan artis terbabit menawarkan sebuah syarikat Singapura sebagai penaja showcase dengan nilai RM16,000.

Bagaimanapun pihaknya hanya menerima RM8,000 daripada artis terbabit untuk jualan dua meja, manakala bakinya tidak sampai ke tangan mereka.