KERAJAAN komited untuk memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi berkaitan telah diberikan tanggungjawab menguruskan sektor itu secara mampan.
Jelas beliau, hal itu dapat dilihat melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bermula pada tahun 2020.
“Walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh.
“Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum pelbagai projek pembangunan ekonomi Kelantan
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) 2022 hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi.
Jelas beliau, bagi produk sawit, syarikat-syarikat milik Kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan MPOB untuk mengeluarkan hydrotreated vegetable oil (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia melibatkan FDI bernilai RM6 bilion.
“Syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS).
“Manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).
“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.
Perdana Menteri berkata, kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan.
Ujar beliau, hal itu bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan negara.
Katanya, tumpuan juga perlu diberi terhadap pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi bagi memacu pembangunan ekonomi kitara.
“Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim.
”Keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menjadi perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
Jelas beliau, MTCS itu telah diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia seperti Jepun yang menggunakan produk kayu bersijil daripada Malaysia dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

