MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya mempertimbang untuk memperkenalkan tabung makanan dalam usaha mengurangkan tekanan inflasi kepada rakyat.
Perkara itu dibincangkan MPN dalam mesyuaratnya seperti dimaklumkan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media, hari ini.
Menurut Muhyiddin, tabung makanan itu dicadang disediakan oleh pihak institusi kewangan termasuk bank-bank komersial.
Kata beliau, pihak institusi kewangan boleh menyediakan sebahagian dana pinjaman bagi mempertingkatkan sumber makanan negara.
“Kita ada bincang menerusi BNM untuk mempertimbang satu tabung makanan atau fund for food yang dulu disediakan.
“Diminta di peringkat institusi kewangan (termasuk) bank-bank komersial perdagangan Malaysia menyediakan sebahagian daripada pinjaman mereka bagi menggalakkan pengusaha, penanam dan petani meneroka secara lebih agresif untuk mengeluarkan bahan makanan diperlukan negara.
“Dengan cara itu, mungkin dapat mengurangkan beban dan tekanan inflasi yang dihadapi penduduk kita terutama dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40),” katanya.
Baca artikel berkaitan: Biar kerajaan, rakyat tentukan MPN gagal atau sebaliknya – Muhyiddin
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan, MPN turut mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula bentuk subsidi yang telah digunakan selama ini.
Beliau berkata, subsidi secara bersasar mungkin boleh dilaksanakan bagi memastikan hanya rakyat yang benar-benar layak sahaja menikmatinya.
Jelas beliau, ketika ini hampir 50 peratus daripada subsidi disediakan kerajaan dinikmati individu berpendapatan tinggi.
“Kita pun ada bincang masalah perlunya kerajaan kaji semula bentuk subsidi yang telah digunakan selama ini (kerana) cukup besar.
“Mungkin dicadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan iaitu hanya mereka yang berhak dan layak dalam kategori B40 diberikan tumpuan.
“Kalau perkara itu diambil langkah segera untuk dikaji semula (tentang) bagaimana subsidi itu dapat digunakan khusus bagi kategori memerlukan, maka kesan inflasi dapat kita kurangkan,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

