PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada majlis pelancaran Malaysia Digital di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Gambar FB MDEC

INISIATIF Malaysia Digital yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini adalah isyarat jelas negara bersedia berada di barisan hadapan dalam memanfaatkan kelebihan ekonomi digital.

Seperti mana kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, negara yang mengambil peluang untuk membuat pelarasan daripada segi mekanisme dan keupayaan, bagi menghadapi ekosistem ekonomi digital baharu selepas pandemik COVID-19 akan berada di barisan hadapan dalam perlumbaan dan persaingan global.

“Adalah wajar Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi tumpuan bukan sahaja kepada penghargaan, tetapi juga memberi tumpuan lebih lanjut, dengan penekanan baharu bermula dari sekarang untuk 25 tahun akan datang,” katanya.

Malaysia Digital adalah program yang dipertingkat dan ditambahbaik oleh agensi peneraju ekonomi digital negara, MDEC, menggantikan MSC Malaysia, yang telah beroperasi lebih 25 tahun.

Sejak penubuhan MDEC 25 tahun lalu, sehingga Disember 2020, MDEC berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM384 bilion, menjana pendapatan hampir RM600 bilion, mencatatkan jumlah eksport RM212 bilion dan mewujudkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

BERITA BERKAITAN Malaysia Digital letak negara saf hadapan ekonomi digital

Komitmen MDEC adalah untuk memacu sektor e-dagang dengan menyaksikan nilai transaksi e-dagang negara mencecah lebih RM1 trilion buat kali pertama pada 2021, meningkat lebih 20 peratus berbanding 2020.

Malah, Annuar juga memaklumkan yang e-dagang telah menyumbang 11.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berbanding hanya 8.5 peratus pada 2019.

“Data ini menunjukkan bahawa e-dagang merupakan salah satu sektor yang paling pesat berkembang.

“Begitu juga dalam bidang lain, termasuk industri kreatif (di mana) kini terdapat lebih 300 studio industri kreatif dan lebih 10,000 tenaga kerja kreatif dalam industri berkenaan yang dianggarkan menjana purata pendapatan tahunan sekitar RM7 bilion,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram