ANAK saudara kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan pernah menerima sumbangan politik RM2.6 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri itu.
Malah, Tan Sri Rahmat Abu Bakar menegaskan tidak pernah menerima wang sebanyak itu.
Sebaliknya, anak saudara Dr Mahathir itu menegaskan beliau telah meninggalkan syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB) sejak tahun 2018.
Rahmat turut memaklumkan telah memulangkan wang yang diterimanya sebagai Pengerusi dan Penasihat UKSB.
Rahmat turut menegaskan dakwaan Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun semasa perbicaraan di mahkamah, Isnin lalu adalah fitnah, palsu dan berniat jahat.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik Rahmat dalam kenyataan berkata, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi dan Penasihat UKSB pada 13 Julai 2018.
Atas kapasiti itu, beliau berkata dijanjikan imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan dan ditawarkan 50 peratus saham syarikat berkenaan.
“Saya dijanji imbuhan sebanyak RM1.3 juta sebulan sebagai pengerusi dan penasihat. Inilah bayaran yang saya terima dalam bentuk wang tunai. Kemudian saya telah kembalikan wang tunai ini kepada UKSB kerana khuatir dengan asasnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu telah meletakkan jawatan di UKSB pada 14 November 2018 setelah mendapat nasihat Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang ketika itu menjawat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara.
Baca artikel berkaitan: UKSB beri sumbangan politik RM2.6 juta kepada Tun M
“Saya akur pada nasihat tersebut berdasar kepada maklumat bahawa UKSB ini merupakan syarikat bermasalah. Terkait dengan UKSB akan mendatangkan lebih mudarat.
“Saya juga telah batalkan niat untuk ambil alih apa jua kepentingan di dalam syarikat tersebut.
“Kesemua tindakan yang saya ambil tercatit di dalam surat-menyurat di antara saya dengan pihak-pihak berkaitan.
“Ini berbeza dengan kenyataan yang dibuat David Tan Siong Sun yang bersandar kepada buku ledger yang merupakan rekod pengurusan UKSB dan tidak ada bukti surat ataupun dokumen.
“Tun Dr Mahathir tidak terlibat dan tidak tahu tentang kaitan saya dengan UKSB. Jika tuduhan palsu ini tidak ditarik balik oleh David Tan Siong Sun, saya akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Isnin lalu, David memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa UKSB memberi sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta kepada Dr. Mahathir.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, David berkata, pihaknya memberi dana RM1.3 juta kepada bekas Perdana Menteri itu menerusi dua transaksi pada Ogos dan September 2018, untuk kegunaan parti berkenaan.
Saksi ke-17 itu memberitahu mahkamah bahawa sumbangan dana itu dibayar melalui anak saudara (Tun Dr Mahathir) iaitu Tan Sri Rahmat Abu Bakar yang menggunakan kod nama ‘Kedahan’.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

