DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan Kerajaan adalah mewujudkan proses kawal selia perniagaan dan persekitaran pematuhan lebih mudah, serta mengurangkan kerenah birokrasi.
Oleh itu, kata Perdana Menteri, Kerajaan bersetuju dengan cadangan penubuhan Unit #MyMUDAH di semua Kementerian dan Agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan agar memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.
“Kerajaan juga prihatin terhadap keperluan untuk terus memperbaiki dan menambah baik dasar serta rangka kawal selia dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara.
“Agensi penarafan antarabangsa global, S&P Global Ratings juga telah menaik taraf prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil, sekali gus memperlihatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kredit dan kemampuan Malaysia mengharungi cabaran fiskal selepas pandemik,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-60 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Petaling Jaya malam ini.
Menurut Ismail Sabri, selain mengukuhkan rangka kawal selia untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, Kerajaan juga akan menumpukan kepada tiga keutamaan.
Kata Perdana Menteri, tiga keutamaan itu ialah Daya Tahan Rantaian Bekalan; Teknologi dan Inovasi; dan Perdagangan dan Pelaburan yang Mampan.
Baca: ‘Sejarah tercipta di Dewan Rakyat hari ini’ – PM
Satu lagi kejayaan besar transformasi Parlimen di bawah kepimpinan PM – Annuar Musa
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha mengukuhkan kerangka Daya Tahan Rantaian Bekalan bagi produk-produk kritikal seperti semikonduktor, farmaseutikal, peranti perubatan, makanan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE).
“Langkah pengukuhan ini dilakukan termasuklah dengan menjalinkan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara rakan dagang dalam membentuk rantaian bekalan yang mampan.
“Malaysia pada 18 Mac lalu, telah menguatkuasakan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi tujuan meningkatkan akses perniagaan dan industri tempatan ke pasaran antarabangsa dan mengurangkan gangguan pada rantaian bekalan global,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, Malaysia juga, bakal meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing industri tempatan, agar dapat bangkit semula dan menjana ekonomi negara.
Dalam pada itu, katanya, Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) berperanan merancakkan lagi landskap pelaburan negara dan meningkatkan daya saing dalam tempoh jangka panjang.
“Tumpuan utamanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berlandaskan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (Environment, Social and Governance – ESG) yang memastikan kelestarian pengeluaran dan operasi perniagaan termasuk mematuhi standard perburuhan antarabangsa.
“Sehubungan itu, ahli-ahli NCCIM perlu sentiasa peka dan mengambil inisiatif untuk mematuhi peraturan-peraturan perburuhan supaya kekal berdaya saing di pasaran sedia ada dan meluaskan potensi di pasaran baharu,” ujarnya.

