KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti hari ini membuktikan kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia sebagai kerajaan yang paling berjaya melakukan pelbagai tindakan demi negara yang lebih baik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kelulusan terhadap RUU ini merupakan satu lagi kejayaan besar transfomasi Parlimen yang dicipta oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Seramai 209 ahli Parlimen rentas parti sebulat suara menyokong usul pindaan Perlembagaan yang dibawa YAB Perdana Menteri bagi membolehkan undang-undang menghalang amalan lompat parti.
“Satu lagi kejayaan besar transfomasi Parlimen dicipta oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri.
“Terbukti kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia merupakan kerajaan yang paling berjaya melakukan pelbagai tindakan demi negara yang lebih baik,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Baca: Sejarah tercipta di Parlimen, RUU anti lompat parti dilulus sebulat suara
‘Sejarah tercipta di Dewan Rakyat hari ini’ – PM
RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan secara sebulat suara kesemua 209 ahli Parlimen yang hadir pada proses pengundian di Dewan Rakyat petang ini.
Proses seterusnya ialah kelulusan di Dewan Negara sebelum dipersembahkan untuk perkenan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pindaan RUU itu dijangka berkuat kuasa pada minggu pertama September.

