BERDASAR kenyataannya, Rafizi Ramli mengakui dan bersependapat dengan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa bahawa tidak ada satu negara pun yang berjaya menurunkan kadar inflasi dan harga barang dengan memotong gaji Menteri-menterinya. Rafizi juga sedar langkah memotong gaji menteri tidak pernah disenaraikan oleh mana-mana pakar ekonomi di dunia sebagai suatu langkah saintifik dan efektif untuk menurunkan kadar inflasi global dan harga barang.
Disebabkan sedar akan hakikat ini, maka Rafizi cuba mengalihkan persoalan pokok kepada persoalan solidariti kegagalan kerajaan seolah-olah menteri-menteri kerajaan ini tidak prihatin kepada kebajikan rakyat sama seperti sikap menteri-menteri Pakatan Harapan ketika memerintah negara ini.
Jangan lupa, sebaik sahaja membentuk kerajaan pada awal tahun 2020, sewaktu pandemik Covid-19 baru sahaja melanda negara, gaji menteri-menteri ini telah dipotong selama TIGA (3) bulan. Walaupun ekonomi negara teruk sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kebajikan rakyat tetap diutamakan. Begitu juga ketika inflasi global melanda, kerajaan bukan sahaja mengekalkan pemberian subsidi malah meningkatkan lagi jumlahnya sehingga RM77 bilion agar kesan inflasi global ke atas rakyat dapat ditangani.
Jangan lupa juga, sepanjang khidmat Annuar di Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), rekod menunjukkan beliau di antara menteri yang banyak memulakan program-program yang membantu dan menjaga kebajikan rakyat, baik menerusi inisiatif di bawah Wilayah Cakna, Wilayah Prihatin, Wilayah Bebas Berniaga, program vaksinasi bergerak di seluruh Wilayah Persekutuan, program- program melibatkan golongan gelandangan, program-program di bawah kelolaan Rumah Prihatin dan banyak lagi. Keprihatinan beliau ini berterusan di K-KOMM termasuk dalam membela golongan pekerja industri kreatif, golongan yang terkesan banjir melalui program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) dan banyak lagi.
Keprihatinan kerajaan hari ini bukan suatu amalan dan kebiasaan pada zaman Pakatan Harapan memerintah. Di saat rakyat meminta bantuan, kerajaan Pakatan Harapan banyak memberi alasan. Alasan utama kerajaan Pakatan Harapan ketika itu adalah, “negara hampir bangkrap”. Rakyat yang meminta bantuan pula diperlekeh dan dihina. Rakyat diminta berusaha sendiri dan jangan mengharapkan bantuan kerajaan. Ada menteri Pakatan Harapan yang memperlekehkan orang Melayu dengan mengatakan “orang Melayu tidak boleh hidup tanpa BR1M”. Jangan lupa juga ketika itu ramai penjawat awam yang dibuang kerja. Tiada bantuan untuk mereka, sebaliknya kerajaan Pakatan Harapan terus menerus memberi alasan bahawa negara hampir bangkrap.
Sudahlah bantuan tidak diberi, lebih teruk lagi, Pakatan Harapan mengutip pula duit daripada rakyat untuk dimasukkan ke dalam Tabung Harapan. Sampai hari ini biarpun selepas dilanda kegawatan ekonomi akibat pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun, peliknya negara masih tidak bangkrap. Kasihan rakyat, dipermainkan dan ditipu oleh Pakatan Harapan. Maka, ketika itu jika Rafizi hendak mendesak agar gaji menteri-menteri Pakatan Harapan dipotong atau tidak dibayar sama sekali, rasanya ramai yang akan bersetuju kerana prestasi mereka yang sangat menyedihkan ketika memerintah.
Jelasnya, diakui oleh Rafizi, memotong gaji menteri bukan langkah yang akan dicadangkan oleh mana-mana pakar ekonomi dunia sebagai langkah penyelesaian tuntas kepada masalah inflasi global dan peningkatan harga barang. Malah negara yang kadar inflasinya lebih teruk daripada Malaysia pun tidak memotong gaji Menteri-menterinya sebab faham ia bukan solusi kepada masalah inflasi global dan kenaikan harga barang.
Kadar inflasi di Malaysia kekal rendah pada tahap 3.4% berbanding negara-negara lain seperti Turki (78.6%), UK (9.4%), AS (9.1%), Itali (8%), Thailand (7.66%), Jerman (7.6%), Singapura (6.7%), Australia (6.1%) dan Indonesia (4.35%). Ini berikutan usaha berterusan kerajaan mengekang peningkatan mendadak kadar inflasi melalui pengekalan serta peningkatan pemberian subsidi dalam pelbagai aspek. Tanpa intervensi kerajaan, kadar inflasi negara ini mungkin sudah mencapai 11-13%.
Begitu juga dengan harga barangan-barangan asas di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran berikutan intervensi kerajaan. Harga RON95 di Malaysia kekal rendah pada RM2.05 sedangkan di negara seperti Indonesia harga seliter adalah RM5.50, Singapura, RM9.20, Thailand, RM5.60, Filipina RM6.40, AS, RM5.60 dan Arab Saudi RM2.80. Harga pasaran sebenar RON95 di Malaysia adalah RM4.75, bermaksud bagi setiap liter petrol yang digunakan oleh rakyat Malaysia, kerajaan membayar harga yang lebih tinggi daripada pengguna, iaitu RM2.70 berbanding RM2.05.
Masalah Rafizi adalah dia tidak memahami objektif penubuhan dan peranan sebuah jawatankuasa di peringkat Jemaah Menteri yang merentasi pelbagai kementerian. Ini salah satu punca kegagalan kerajaan Pakatan Harapan kerana mereka tidak faham bagaimana kementerian-kementerian beroperasi dan kenapa jawatankuasa merentasi kementerian ini penting dalam mengendalikan masalah atau krisis yang dihadapi oleh negara. Rafizi perlu faham bahawa cara jalanan pembangkang tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah negara.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan pada 29 Jun 2022 sebagai pasukan yang boleh bertindak cepat bagi menstabilkan harga dan bekalan barangan asas, serta meminimumkan impak inflasi terhadap barangan dan pengguna. Jawatankuasa ini lebih berbentuk jawatankuasa operasi dan komunikasi merentasi kementerian-kementerian dan seumpama pasukan tindak cepat kerana mesyuarat penyelarasannya diadakan dua kali seminggu.

Sebelum penubuhan Pasukan Khas ini, harga ayam dijangka melonjak sehingga RM15 sekilo dan bekalan dikatakan tidak mencukupi di sesetengah kawasan. Bagaimanapun itu tidak berlaku. Sebaliknya belum sampai seminggu penubuhannya, ayam bukan sahaja dapat dijual pada harga RM8.50, jauh lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan, iaitu RM9.40, malah bekalannya juga mencukupi dan stabil. Hari ini, 28 Julai, harga ayam segar standard dijual serendah RM7.86 di Kelantan dan RM7.95 di Perlis, berbanding harga siling RM9.40 dan harga purata nasional, RM8.50.
Baca: Potong gaji menteri? Annuar Musa kata berhentilah main politik
Lebih RM77 bilion peruntukan subsidi bantu stabilkan harga barang
Sebaik penubuhannya, Pasukan Khas ini juga segera turun meninjau aduan mahasiswa mengenai kos makanan di kafetaria universiti. Tidak lama selepas itu, menu Keluarga Malaysia pada harga RM3.50 diperkenalkan dan pengecualian bayaran sewa selama enam bulan diberikan pengusaha kafetaria sebagai antara tujuh inisiatif segera Kementerian Pengajian Tinggi bagi meringankan beban perbelanjaan mahasiswa.
Di bawah Pasukan Khas ini juga, usaha untuk menstabilkan harga dan bekalan minyak masak bersubsidi sedang dilaksanakan. Tindakan-tindakan penguatkuasaan ditingkatkan dan tindakan denda dan rampasan dikenakan ke atas pihak yang menyalah guna bekalan minyak masak bersubsidi. Untuk mempercepatkan lagi penurunan harga minyak masak, Pasukan Khas ini juga sedang berusaha menjadikan minyak masak sebagai barangan kawalan.
Tidak sampai sebulan penubuhannya juga, pada 26 Julai, TV3 juga melaporkan terdapat penurunan harga sayur dan ikan sehingga 30 peratus. Walaupun ada tanda-tanda positif tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah inflasi global dan kemelesetan ekonomi dunia.
Bagi penjawat awam dan mereka yang berada di dalam kerajaan, mereka boleh memahami bahawa tugas ini bukan mudah. Ia memerlukan kepakaran, pengalaman dan kerjasama semua pihak dan pemegang taruh. Mereka memahami bahawa tidak mungkin inflasi global dapat ditangani dengan cara jalanan dan berdemonstrasi.
TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Penulis merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia

