KONGRES Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan melaksanakan kenaikan gaji untuk kakitangan awam sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang tarikhnya entah bila.

Sebenarnya bagi penulis, ia bukan permintaan, tetapi lebih berunsur ugutan. Ini kerana menurut Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan, mereka sedia turun mengadakan protes jalanan.

ADNAN MAT – Gambar Bernama

Garang nampaknya Cuepas. Antara alasan mendesak kenaikan ialah struktur gaji semasa penjawat awam yang dilaksanakan sejak 2002 masih belum dikaji semula. Juga cadangan menaikkan gaji kaki tangan awam Gred 19 kepada gred 29 sudah beberapa kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun belum ada tindakan diambil.

Jika berlaku kenaikan, tentulah bukan untuk kategori ini sahaja, malah merangkumi semua peringkat penjawat awam. Ceupacs menganggap struktur gaji lama sudah tidak sesuai dengan situasi semasa. Kerana itu ia perlu dinaikkan bagi membantu penjawat awam menghadapi beban kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Seolah-olahnya jika harga barang naik dan kos sara hidup meningkat, hanya kakitangan awam sahaja yang terkesan. Pekerja sektor swasta atau yang berkerja sendiri seperti tidak terlibat. Justeru alasan ini sahaja tidak cukup kukuh sebagai justifikasi menuntut kenaikan gaji.

Namun tuntutan Cuepacs ini bukan menghairankan. Selama ini pun sering kali ia mengemukakan tuntutan gaji kepada kerajaan sehingga kelihatan seolah-olah fungsi kesatuan tersebut hanyalah menuntut kenaikan gaji.

Boleh saja membuat tuntutan dan terpulang kepada kerajaan memenuhinya atau menolak, atau menerima sebahagian tuntutan. Cuma kali ini cara membuat tuntuan nampak keras sehingga mengugut akan mengadakan protes jalanan jika tidak dipenuhi.

BERITA BERKAITAN Tuntutan naik gaji perkhidmatan awam: KSN akan bertemu Cuepacs Isnin ini

Selain itu apa maksud tersirat Cupecas mahu tuntutan dipenuhi sebelum PRU-15? Tentu banyak tafsiran atas kata dua atau ultimatum ini. Nampak ia seperti memberi amaran kuasa undi yang dimiliki oleh penjawat awam andai tuntutan gagal.

Sememangnya kepada kerajaan sahaja Cuepacs mengadu untuk menambah baik gaji atau skim perkhidmatan. Namun kini bukan masa sesuai ketika negara sedang bergelut untuk kembali pulih daripada bahana pandemik Covid-19 dan menyusun semula struktur sosia-ekonomi.

Negara baru sahaja memasuki fasa endemik. Sektor ekonomi baru dibuka sepenuhnya bagi mempastikan ekonomi negara berkembang rancak dan dengan itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kewangan negara banyak disalur untuk membantu rakyat untuk meringankan beban kehidupan mereka yang hilang sumber pendapatan kerana Covid-19. Pandemik ini menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup, mengakibatkan ramai hilang kerja sedangkan kehidupan perlu diteruskan.

Ekonomi negara terjejas teruk dalam tempuh dua tahun lebih negara mengharungi fasa pandemik. Kesannya masih terasa sehingga kini dengan inflasi di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Ramai masih berusaha keras memperbaiki kehidupan dan kembali berdiri seperti sebelum era pandemik.

Dalam keadaan ini penjawat awam nyata lebih bernasib baik. Tidak ada yang dibuang kerja ketika pandemik. Gaji tetap dibayar setiap bulan tanpa gagal sedangkan rakyat ramai terpaksa ikat perut melalui hari-hari penuh mencabar.

Kerana itu penjawat awam mungkin tidak merasai atau berkongsi kesusahan yang dihadapi oleh pekerja sektor swasta atau yang berkerja sendiri bergelut memastikan makanan untuk keluarga sentiasa ada di atas meja.

Penjawat awam seharusnya bersyukur kerana rezeki mereka tidak putus. Sabarlah menunggu sehingga ekonomi negara benar-benar pulih dan kehidupan rakyat bertambah baik sebelum membuat tuntutan.

Selama ini kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan pekerjanya. Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, JPA telah melaksanakan pelbagai penambah baikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002.

Antaranya pada 2016, faedah pemindahan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diberikan kepada penjawat awam. Penambahbaikan berterusan berhubung kebajikan penjawat awam juga dibuat, merangkumi semakan gaji, elaun dan kemudahan, di samping laluan kerjaya dibuat secara menyeluruh.

Jelas JPA komited memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terpelihara dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Namun dalam melaksanakan ini semua perlu mengambil kira situasi ekonomi dan kewangan negara, serta kebajikan rakyat keseluruhan. Kerajaan berkhidmat untuk semua, bukan penjawat awam sahaja.

Justeru hasrat Cuepacs mengadakan piket jika kenaikan gaji tidak diperoleh, adalah sangat tidak bertanggung jawab setelah pelbagai kemudahan diberi selama ini. Piket akan hanya menyebabkan pentadbiran negara terjejas serta menyusahkan rakyat yang berurusan dengan mereka.

Apabila keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat pulih serta kewangan negara bertambah kukuh, tentu kerajaan sedia menimbangkan permintaan kaki tangannya, bagai pemberian ayah kepada anak. Cuma lambat atau cepat sahaja.

Sehingga itu bersabarlah, tidak perlu mengugut. Pada masa sama, berusahalah memperbaiki mutu perkhidmatan awam kerana banyak rungutan didengar berhubung sikap mereka apabila berurusan dengan orang ramai. Jangan sampai Cuepacs dianggap hanya tahu minta naik gaji tetapi mutu perkhidmatan tidak dipertingkat.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram