Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan pagi tadi.

SERAMAI 50 individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan ditahan dalam serbuan sebuah kelab malam terkenal di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, operasi itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada jam 1 pagi tadi.

Jelas beliau, operasi itu dijalankan sepasukan 27 pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 150 orang telah diperiksa dan 50 individu yang ditahan pula berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 43 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Laos, dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan.

“Turut ditahan tiga warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.

“Kesemua warga tempatan yg ditahan direman dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan:  Dakwaan KPPA tengking pegawai Imigresen tidak tepat

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki warga asing sebagai pekerja am di kelab malam tersebut.

Jelas beliau, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.

Katanya, ada pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan.

“Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.

“Bayaran yang dikenakan antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga.

“Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1000 ke RM1500 satu malam,” katanya.

Khairul Dzaimee menambah, semakan awal mendapati wanita-wanita itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong.

Katanya, walaupun mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong, namun kemudahan Imigresen yang diberikan telah disalah guna.

“Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala tiga orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen,” katanya.

Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram