TIDAK berpuas hati dengan layanan syarikat pengendali, semua penghantar makanan atau rider merancang mengadakan mogok esok sekali gus dikhuatiri mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan itu dalam tempoh 24 jam.
Menurut Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor yang dipetik Harian Metro, langkah itu bagi menunjukkan solidariti rider terhadap isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian.
Katanya, isu itu termasuk kadar upah tidak tetap yang dimanipulasi syarikat serta masalah tambang yang tidak setimpal dengan aplikasi yang menekan penghantar p-hailing.
“Mungkin dengan cara ini (mogok) ia boleh memberi tekanan kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya, hari ini.
Sebelum itu, tular di media sosial mengenai poster penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia yang akan mengadakan mogok 24 jam esok.
Mengulas lanjut, Zulhelmi memberitahu, dia menjangkakan hampir semua rider akan turut serta dalam bantahan itu kerana ia sudah dirancang sejak dua ke tiga minggu lalu.
Katanya, mereka berharap mogok itu akan memastikan syarikat penyedia perkhidmatan tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar.
“Selain itu, kita juga mahu kerajaan ambil tindakan terhadap masalah ini. Saya yakin kerajaan tahu tetapi hingga kini tiada penyelesaian,” katanya.
Tambahnya, pengguna diharap memahami tindakan diambil golongan itu.

