“KEJAYAAN beliau (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) di Birmingham baru-baru ini menunjukkan yang beliau sudah beralih dari fasa buah putik kepada fasa buah yang masak ranum.”

Itu kata jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengenai pencapaian rakan sepelatihnya itu yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin di Sukan Komanwel Birmingham 2022, baru-baru ini.

Sambil mengucapkan tahniah, Azizulhasni juga menyifatkan kejayaan atlet kelahiran Johor itu untuk memenangi pingat bukan satu perkara mudah.

Jelas Azizulhasni, ini kerana sukan lumba basikal trek adalah antara sukan yang mempunyai level kompetitif yang sangat tinggi di Sukan Komanwel.

Malah, Azizulhasni menyifatkan Shah Firdaus sendiri sebelum ini masih dalam proses pembikinan.

“Sejurus selepas acara itu berakhir, Shah Firdaus membuat ciapan di media sosial ‘Bronze in keirin but it feels like Gold‘. Kenapakah beliau membuat ciapan sebegitu?

“Mungkin ramai tidak tahu yang sukan lumba basikal trek adalah antara sukan yang mempunyai level kompetitif yang sangat tinggi di Sukan Komanwel.

“Justeru, untuk memenangi pingat bukanlah sesuatu perkara yang mudah, tambahan Shah Firdaus sendiri sebelum ini masih dalam proses pembikinan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: ”Tahniah Azizulhasni, Syabas Shah Firdaus” – PM

Mengulas lanjut, Azizulhasni juga menaruh keyakinan bahawa Shah Firdaus mampu menggegarkan pentas Sukan Olimpik Paris pada tahun 2024 nanti.

Kata beliau, orang ramai telah dapat melihat dengan jelas kemampuan sebenar atlet berusia 26 tahun itu di pentas antarabangsa.

“Pencapaian tersebut juga telah memberikan jawapan kepada ramai pihak yang sebelum ini sentiasa tertanya-tanya, kita tidak ada pengganti ke? Kita ketandusan pelapis ke? Tak ada muka baru ke? Jadi semua persoalan sudah terjawab dan janganlah pula selepas ini diajukan soalan yang sama pula kepada Shah Firdaus.

“Disebabkan saya sentiasa berada di bawah ‘ketiak masam’ Shah Firdaus, saya sendiri sentiasa menyaksikan suka duka, perit getir yang terpaksa dilalui beliau.

“Oleh sebab kesanggupan beliau untuk berdaya tahan dan tabah di dalam melalui proses tersebut, beliau kini berada di tahap sekarang,” katanya.

Penantian selama lapan tahun pelumba berbasikal trek negara untuk memenangi pingat acara keirin pada temasya Sukan Komanwel akhirnya berakhir pada edisi ke-22 apabila Shah Firdaus berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago merangkul emas pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham itu manakala perak menjadi milik pelumba Scotland, Jack Carlin, pada acara yang berlangsung di Lee Valley VeloPark, 31 Julai lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram