Tan Sri Shahrizat Jalil


SEMUA pemimpin politik diseru agar mempercepatkan usaha membuat pindaan berkaitan hak kewargangeraan dalam Perlembagaan Persekutuan supaya ia tidak lagi berat sebelah.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Jalil berkata, telah tiba masanya jurang dalam undang-undang diperbetulkan dan dipinda supaya ianya kekal, benar dan nyata.


Menurutnya, keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan wanita untuk menganugerahkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka secara kuatkuasa undang-undang sememangnya mengguris hati wanita Malaysia.

 “Saya menyeru semua  pemimpin politik untuk mempercepatkan pindaan berkaitan hak kewargangeraan di dalam Perlembagaan Persekutuan supaya ia tidak lagi berat sebelah. 


“Pada tahun 2001, semasa saya menjadi Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga saya dan Kementerian berusaha meminda Perkara 8(2) Perlembagaan dengan memasukkan “gender”, kerana kami percaya secara asas kepada kesamarataan wanita dan lelaki, sama-sama warga Malaysia.


“Telah tiba masanya kita betulkan jurang dalam undang-undang, kita pinda supaya ianya kekal, benar dan nyata,”katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, hati beliau turut pedih mengenang keperitan dilalui wanita terkesan dengan keputusan itu dan bersolidariti dengan semua kaum ibu yang berjuang dengan kes berkenaan.


“Saya berdiri seiring bersolidariti dengan semua wanita Malaysia dan ibu-ibu dalam perjuangan mereka yang tidak pernah selesai untuk kes ini di Mahkamah Persekutuan dan Parlimen kelak.”Wahai hati, tenanglah, wahai jiwa, kuatlah. Kita giat teruskan berjuang,”katanya lagi.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 semalam memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.