SEORANG lelaki mabuk ditahan selepas memandu kenderaan secara merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan tujuh buah kereta pada 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima arahan daripada bilik gerakan untuk menghala ke sebuah stesen minyak dekat Saleng, Kulai selepas menerima aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian lalu bertindak menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang memandu Toyota Hilux dari arah Johor Premium Outlet telah merempuh lima buah kereta.

“Suspek kemudian memandu ke Lebuhraya Link Kedua dan memasuki Lebuhraya Johor Bharu-Air Hitam dan melanggar dua buah kenderaan lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek telah berhenti di sisi jalan dan bertindak melarikan salah sebuah kereta yang dilanggar lalu menuju ke stesen minyak terbabit.

Baca artikel berkaitan : Lelaki mabuk duduk atas bumbung Toyota Vellfire ditahan

“Kemalangan terbabit bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap suspek dan mangsa,” tambahnya.

Beng Yeow berkata, hasil ujian pernafasan mendapati suspek positif alkohol manakala ujian saringan air kencing negatif dadah.

Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Kulai telah meluluskan reman selama tiga hari sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram