Tan Sri Muhyiddin Yasssin GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN digesa  mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketika membuat gesaan itu dalam satu kenyataan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skandal tersebut bukan sahaja melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 billion, tetapi turut merencatkan keupayaan TLDM mengawal perairan negara.

‘’Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita,’’ katanya.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri melalui akaun Facebook beliau:

Pada tanggal 7 Ogos 2022, genap dua tahun Perikatan Nasional ditubuhkan. Tertubuhnya Perikatan Nasional adalah atas semangat untuk membela nasib rakyat ketika negara berdepan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang belum pernah dialami sebelum ini.

Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk telah memberi keutamaan kepada membela nasib rakyat dengan pelbagai bentuk bantuan demi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat yang tersepit akibat pandemik Covid-19.

Tonggak utama yang menjadi falsafah dan pasak perjuangan PN ialah Prihatin Rakyat yang dizahirkan dengan pelaksanaan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion dan program vaksinasi yang berjaya menyediakan vaksin kepada hampir 100% populasi dewasa di negara ini.

Walaupun PN berhadapan dengan pelbagai pancaroba politik, Alhamdulilah, dengan sokongan dan dukungan rakyat, PN telah berjaya mengemudi negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang meruncing. Kini fokus kita ialah untuk memulihkan negara demi kehidupan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.

Komitmen PN terhadap falsafah perjuangan Prihatin Rakyat akan berkekalan. Hanya kerajaan yang dibentuk oleh gabungan parti yang terbukti  mengutamakan rakyat melalui dasar-dasar yang prihatin terhadap nasib rakyat jelata akan dapat mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan sejahtera.

Parti-parti politik yang hanya mengutamakan kepentingan segelintir individu dan puak tidak akan dapat meletakkan kepentingan rakyat di hadapan segalanya. Mereka juga tidak akan berjaya mewujudkan kestabilan politik selagi mana kepentingan individu dan puak tidak dapat penuhi.

Malah individu dan puak inilah yang akan terus mengancam kestabilan politik negara selagi mana kepentingan peribadi mereka tidak dapat dipenuhi.

Lebih malang sekiranya amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam sebuah pemerintahan kleptokrasi berulang kembali di negara kita. Perikatan Nasional menentang keras amalan kotor ini dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

Walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU-14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion, selain merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

Bantahan ini walau bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada masa ini.

Inilah pemimpin BN  yang akan mengetuai parti itu dalam PRU-15. Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?

Saya menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan, STAR Sabah dan SAPP adalah sebuah gabungan politik nasional yang akan terus memperjuangkan nasib rakyat jelata tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh berintegriti.

Inilah komitmen kami yang paling utama untuk Malaysia. Mudah-mudahan dengan berkat sokongan dan mandat rakyat, PN akan dapat merealisasikan komitmen ini menerusi pembentukan sebuah kerajaan Prihatin Rakyat dan Berintegriti dalam Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang.