- Gambar hiasan Freepik

SEORANG penjaga stor ditahan selepas mengamuk di sebuah surau dekat Ampang Campuran kerana mendakwa kuliah Subuh terlalu bising.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian daripada pengerusi surau berusia 61 tahun pada pukul 7.06 pagi kelmarin.

Beliau berkata, sewaktu kuliah subuh sedang berlangsung, mereka telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak menuju ke arah penceramah.

“Suspek kemudian bertindak menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising sehingga menganggu dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, tindakan suspek tersebut tidak beradab dan telah menganggu tempat ibadah serta jemaah yang lain.

Susulan kes itu, jemaah surau bertindak menghalang suspek daripada melakukan perkara yang lebih teruk dengan meminta suspek meninggalkan surau dengan cara baik.

Difahamkan, penceramah tersebut dijemput sebulan sekali bagi memberikan kuliah di surau tersebut.

Baca artikel berkaitan : Kejadian lelaki mengamuk di lebuh raya Kuala Kangsar disiasat

Mohamad Farouk berkata, pihaknya berjaya menangkap suspek berusia 34 tahun itu di Jalan Ikan Emas Mesra, Ampang, 7 malam tadi.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dalam kesalahan dadah dan ugutan jenayah,” ujarnya.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956.

Mohamad Farouk turut memberi amaran serta nasihat buat orang ramai supaya tidak terlibat dalam perbuatan yang boleh memecahkan keamanan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram