PELANCARAN dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis biasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak sekian lama.
Itu kata bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr. Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang terpanggil membetulkan persepsi negatif untuk melindungi maruah dan nama baik TLDM.
Beliau berkata demikian untuk menjawab tuduhan sesetengah pihak yang mempertikaikan upacara penamaan dan pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada tahun 2017.

Malah, Ahmad Kamarulzaman berkata, pelancaran dan penamaan kapal perang sebelum disiapkan itu juga merupakan amalan serta tradisi biasa di negara-negara lain.
Menurut Ahmad Kamarulzaman, perkara itu juga disebutkan oleh Kepten (B) Ir Azhar Jumaat (Pengarah Projek LCS) dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 11 Disember 2021.
“Saya tahu visual pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini. Saya sebagai Panglima TLDM turut hadir upacara tersebut.
“Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap? Ini saya boleh faham dan hormati.
Baca artikel berkaitan: Isu LCS: PM gesa SPRM segerakan siasatan, bawa ke muka pengadilan
“Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman turut memberikan bukti bahawa pelancaran kapal LCS yang dibina Naval Group untuk kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Perancis juga belum disiapkan sepenuhnya.
Justeru, beliau menegaskan, tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar.
“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy (rekaan). Ini termasuk mast yang dikhabarkan palsu.
“Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini. Jadi, janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

