PENYANYI Aizat Amdan,33, kini bergelar suami kepada pengurusnya, Elyssa Alia Illias,34, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A-Park, Puchong, pukul 9.17 pagi hari ini.

Pasangan ini dinikahkah oleh bapa Elyssa, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan.

Aizat menyerahkan mas kahwin RM300 kepada Elyssa, manakala wang hantaran dirahsiakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aizat Amdan umum kahwin,pilih 14 Ogos akhiri zaman bujang – “Dia ibarat kopi saya…,”

Pihak pengantin lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang daripada pihak pengantin peerempuan.

Penyanyi Hanya Kita Dua itu bersyukur apabila majlis yang dirancang itu berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

“Syukur semuanya berjalan lancar. Keluarga dapat berkumpul dan majlis dijalankan seperti dirancang.

“Ini adalah fasa dan permulaan baharu buat kami berdua. Selepas ini apa sahaja tindakan dah tak boleh fikir untuk diri sendiri sahaja.

“Saya ada isteri dan perlu minta persetujuan bersama,” katanya.

Aizat dinikahkan oleh bapa Elyssa iaitu Illias Moideen

Memilih Tulum, Mexico sebagai lokasi berbulan madu yang sudah lama diimpikan.

“Saya akan ke Los Angeles untuk memasarkan album terbaharu pada November. Setelah itu kami akan terus berbulan madu.

“Tulum menjadi lokasi berbulan madu sebab kami sukakan pantai. Saya ada angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai manakala Elyssa pula ada impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai,” ujarnya.

Pasangan ini mula bercinta tiga tahun lalu sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke fasa perkahwinan.