PELAKON dan penyanyi popular Fazura bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan yang akan menghimpunkan ramai artis terkenal tempatan dan dari Indonesia, khas untuk para peminat dan penyokong kesayangannya.

Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin meluahkan rasa syukur dan teruja kerana dapat menghimpunkan ramai nama besar untuk konsert berkenaan yang juga merupakan penyanyi serta kumpulan muzik terkemuka kegemarannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana konsert ini akhirnya dapat juga direalisasikan kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama rakan seni yang amat saya kagumi di bawah satu acara yang gilang gemilang,” katanya kepada URTV.

Tujuan konsert ini diadakan adalah untuk meraikan peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya seninya dan juga rangkaian produk jenama Fazura.

Konsert ini juga dianjurkan untuk meraikan para stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produknya.

“Konsert ini bakal ditunjangi oleh dua penyanyi luar negara yang tidak asing lagi dari Indonesia iaitu Ahmad Band yang diketuai oleh Ahmad Dhani berserta isterinya, Mulan Jameela yang sudi untuk membuat persembahan di konsert sulung Faztival Fazura 2022 ini,” luahnya lagi.

Selain penyanyi Indonesia, konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu juga menampilkan barisan penyanyi terkemuka negara antaranya Datuk M.Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

“Harga tiket pula sudah tentunya yang mampu dimiliki kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.

“Selain daripada persembahan hebat daripada para artis yang saya kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini kelak.

“Saya berharap agar penganjuran sulung Faztival Fazura ini berjaya supaya dapat dijadikan sebagai konsert tahunan, Insya-Allah,” katanya.

Konsert yang diuruskan oleh Icon Entertainment itu akan mula menjual tiket pada 19 Ogos ini dengan harga bermula RM147 melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my atau hubungi 0199919055 untuk informasi lanjut.