
KETIKA pasukan “big 6” lain bersorak meraihkan 6 mata dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris yang bermula minggu lalu, penyokong Manchester United (United) menahan air mata menyaksikan wajah pasukan mereka ‘ditonyoh’ tanah oleh dua pasukan yang bermula dengan huruf ‘B’ iaitu Brighton dan Brentford.
Man United, seolah-olah diajar oleh pasukan lawan bagaimana bermain bola sepak yang proaktif.
Penyokong United tidak membazir sesaatpun untuk memaki hamun pemain United di atas padang mahupun dalam media sosial ketika pasukan kesayangan mereka berjalan masuk terowong selepas tiupan separuh masa dengan kepala tertunduk.
“Malu.”
Punya pahit pengalaman pertama Erik Ten Hag di “Theatre of Dreams” walaupun pemain-pemainnya menunjukkan aksi yang baik ketika pra-musim di mana penyokong dijanjikan “permulaan baharu” di bawah jagaannya.
Bagaimanapun, penyokong tahu, segala keperitan pada 7 Ogos lalu bukannya salah si botak Belanda yang disayangi Ajax Amsterdam itu, namun, mereka menuding jari kepada satu pihak di awangan yang sudah lama menjadi awan hitam besar di atas Old Trafford, iaitu The Glazer Family.
Keluarga Glazer mengambil alih kelab itu pada 2005 dengan aspirasi bahawa bola sepak adalah sebuah sukan yang “boleh dipasarkan”.
Ben Hatton, salah seorang bekas Pengarah Manchester United berkata, mereka melihat sukan sebagai satu perniagaan dan pandangan seumpama itu adalah kesalahan besar bagi kalangan peminat sukan di Eropah dan Amerika Utara.
Di rantau tersebut, bola sepak adalah suka sensitif, keadaan itu berbezab di Malaysia,yang mana kita dikatakan masih boleh “menyentuh rumput” dalam perbincangan pasal bola sepak tetapi di negara seperti Sepanyol, Brazil, Itali dan England , “The Beautiful Game” itu bukan sekadar hiasan.
Ia sebahagian daripada budaya, keluarga dan kadang-kadang agama mereka sendiri.
“MUFC The Religion (MUFC agama kita)” boleh dilihat besar-besaran di Old Trafford dan penghinaan apa sekalipun terhadap kelab itu, dianggap penghinanaan terhadap.
Datanglah, Malcolm Glazer dan anak-anaknya dengan modal perniagaan untuk memasarkan Manchester United sepertimana kelab-kelab sukan di Amerika Syarikat.
Tajaan United berderet tetapi sejak Sir Alex Ferguson mengosongkan pejabatnya pada 2013, piala dalam kabinet hanya boleh memenuhkan satu rak, itu pun salah satunya “piring” Community Shield pada 2016.
Pada musim sejuk lepas, pengurusan United berkata mereka menyimpan peruntukan untuk musim panas dan ingin memberikan “sokongan penuh kepada jurulatih baharu” namun, Erik Ten Hag memasuki musim baharu dengan hanya tiga kehadiran pemain baru, salah seorangnya Christian Eriksen- yang datang secara percuma.
Sementara semua pasukan mempunyai strategi pembelian yang telus dan cekap, United masih bergelut untuk mendapatkan sasaran utama mereka, Frenkie de Jong berikut kemelut pemain Belanda tersebut dengan Barcelona.
Mungkin kekalahan mereka kepada Brighton dan Brentford diletakkan sepenuhnya kepada John Murtough dan Richard Arnold, dua kakitangan utama yang menguruskan jendela pertukaran United namun punca keperitan itu adalah ciptaan pemilik United, Joel dan Avram Glazer.
Ramai penyokong bola sepak berkata penyokong United “tidak sabar”, “memberikan reaksi melampau” jika kalah dan sering menyalahkan pemilik mereka walaupun kedudukan liga bergantung kepada prestasi atas padang, tetapi apa nak buat jika orang atasan tidak berkongsi cita-cita yang sama dengan pemain dan jurulatih?
Cita-cita penyokong mereka sendiri?
Sebabnya ringkas. Kerana mereka melihat penyokong sebagai pelanggan.
Itu sememangnya modal perniagaan yang diamalkan oleh adik-beradik Amerika Syarikat ini yang kerap digelar “lintah” oleh penyokong United setelah mengaut sebanyak £1 bilion pound (RM5 bilion) daripada kelab itu.
Walaupun mengaut keuntungan hampir £8.8 juta dividen, mereka tidak mahu mengeluarkan wang mereka sendiri untuk United melabur membeli pemain.
Akhirnya, United terikat dengan bajet sebanyak £120 juta. Dengan pasaran sekarang hanya boleh mendapatkan 2 pemain elit.
Kebencian penyokong United mencapai ‘boiling point’ kerana sudah bermusim-musim, kelab mereka tidak memberikan sokongan kepada jurulatih dari segi pengurusan masa dan bajet, akhirnya, skuad mereka yang lapuk itu berhadapan situasi memalukan di atas padang.
United sudah lama ada masalah pemain midfield namun sudah bertahun isu tersebut tidak diselesaikan.
Old Trafford makin lunyai walaupun sudah berkali-kali diberikan janji untuk memperbaiki dan menambah baik kkemudahan mereka.
Pemain-pemain hebat menjauhkan diri kerana merasakan peluang menjadi pemain Manchester United sudah tidak mempunyai magis.
Makin lama, Manchester United – sebuah kelab, jiwa Manchester, juara 20 kali, pemenang treble pada 1999 – bersambung kewujudan mereka sebagai jenama dan bukannya kelab yang melahirkan pemain legenda serta memenangi piala yang memungkinkan musuh-mereka menangis.
Kegemilangan United seolah-olah tidak pernah wujud walaupun memori Moscow 2008 diukir dalam minda penyokong veteran.
Tetapi di bawah timbunan sampah sarap ini, hidupnya penyokong-penyokong yang akan buat apa sahaja untuk melindungi kelab mereka.
Ketika lawatan Liverpool ke Old Trafford pada 22 Ogos, suara penyokong United akan bergema di Manchester, dengan kain berwarna kuning hijau berterbangan tinggi di langit.
Asap akan menebal, menyeru Old Trafford dikosongkan.
“Kami di sini, jangan bersembunyi.”
Ya, magis di United mungkin sudah hilang tetapi suara penyokong masih memanggil untuk Manchester United menjadi milik mereka semula.
Demonstrasi Glazer ini bukan soal duit, ia soal integriti.
“Pulangkan kelab kami.”
*Penulis adalah graduan kewartawanan UitM.

