HARI ini 15 haribulan, sudah masuk separuh bulan Ogos. Hanya dua minggu lagi negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-65, seterusnya bersambung dengan sambutan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-59 pada 16 September.

Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 detik yang sangat berharga dalam sejarah negara serta menjadi kebanggaan setiap rakyat. Inilah detik Tanah Melayu terlepas daripada cengkaman Inggeris. Negara bebas sepenuhnya daripada rentetan belenggu penjajah yang sekian lama menduduki bumi tercinta ini, daripada Portugis, Belanda, Jepun dan British.

Apabila Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, ia mencatat satu lagi sejarah negara. Wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak serta Singapura, menyertai Persekutuan Malaysia walau pun Singapura meninggalkan pesekutuan pada 9 Ogos 1965.

Justeru sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah tumpah darah ini, setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan atau Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, seharusnya menjadi detik merenung kembali jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu membebaskan tanah air.

Mereka juga berusaha keras mengisi kemerdekaan, meletakkan asas kukuh pembangunan negara serta kemakmuran rakyat. Pelbagai liku cabaran dan kepayahan dilalui sehingga terbentuk apa yang wujud hari ini.

Negara mencapai kemerdekaan melalui proses rundingan tanpa tumpah darah, sesuatu yang harus dibanggakan. Ada negara lain mencapai kemerdekaan dengan bermandi darah dan air mata, serta menanggung penderitaan selepas merdeka kerana tiada kemampuan mentadbir negara pasca merdeka.

Tidak mengapa jika ada yang berkata kemerdekaan Malaysia dicapai dengan ‘jinak’. Yang penting itu membuktikan penjajah yakin dengan kemampuan negara untuk berkerajaan sendiri, justeru dengan senang hati memberi kemerdekaan.

Pemimpin terdahulu bukan sahaja berjaya menuntut kemerdekaan dan meletakkan asas kukuh menjadi negara maju dan makmur, tetapi memastikan rakyat pelbagai kaum hidup rukun damai bersatu padu. Pemimpin sekarang pula meneruskan dan menambah baik apa yang telah dicapai untuk terus memacu negara ke puncak kecemerlangan.

Negara juga berusaha mempastikan kesejahteraan hidup rakyat. Namun apa pula sumbangan rakyat kepada negara? Sepanjang bulan kemerdekaan, mampukah kita sekurang-kurangnya menunjukkan kasih sayang dengan berbuat sesuatu yang kecil tapi tinggi nilainya, iaitu mengibarkan bendera kemegahan, Jalur Gemilang. Mudah, tetapi ramai tidak sedia melakukannya.

‘Bulan Kemerdekaan’ dan ‘Kempen Kibar Jalur Gemilang’ yang sedang berjalan sekarang bukan sekadar acara tahunan yang perlu diraikan tetapi lebih penting mengambil iktibar daripada pengalaman lalu untuk panduan masa depan, terutama dalam memupuk perpaduan dan cinta rakyat terhadap negara.

BERITA BERKAITAN Sambutan Hari Kebangsaan perlu libat keluarga, komuniti

Memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan kempen itu di Putrajaya akhir Julai lalu, negara dan rakyat perlu sentiasa berjaga-jaga dan bersiap siaga mempertahan kemerdekaan. Ini kerana walau pun negara sudah lama merdeka, masih wujud cabaran dari dalam dan luar.

Kerana itu rakyat mesti sentiasa menumpahkan taat setia dan kasih sayang kepada negara, mempamerkan semangat patriotisme dan saling hidup dalam suasana muhibbah, bersatu padu serta saling memerlukan, bagai aur dengan tebing.

Perpaduan kaum dan semangat kasihkan negara adalah elemen utama mewujudkan kestabilan serta kekuatan dalam menghadapi ancaman. Ini bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Hayati tema ini sebagai kunci kekuatan.

Tema tersebut sepatutnya menjadi pemangkin Keluarga Malaysia hidup harmoni dalam satu keluarga besar, sambil sentiasa bersyukur dengan kejayaan, kesejahteraan dan keamanan dicapai selama ini.

Kedaulatan tanah air tidak harus dibiar diganggu gugat. Perpaduan kaum adalah ibarat benteng kukuh menghadapi apa juga bentuk ancaman. Bersatu teguh bercerai roboh. Tetapi adakah kita tidak malu mengaku sayangkan negara jika mengibar bendera pun tidak mahu?

Serikan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan kibaran bendera di seluruh pelusuk tanah air, baik di bangunan, pejabat, rumah kediaman atau kenderaan. Tidak perlu disuruh atau dipujuk untuk melakukannya. Biarlah ia datang daripada kesedaran diri sendiri, daripada hati yang penuh kasih sayang kepada negara.

Sedih apabila memerhatikan ramai tidak ambil peduli mengibar bendera, sedangkan harga bendera murah sahaja. Malah ada yang diberi percuma. Adakah terlalu sukar menzahirkan semangat cintakan negara?

Ada pula yang mengibar bendera bagai tidak ikhlas. Tidak peduli jika bendera sudah lusuh atau koyak. Ini adalah satu penghinaan kepada Jalur Gemilang.

Tahun ini hendaknya aktiviti memasang bendera lebih agresif. Juga semoga semua program sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disambut dengan penuh bersemangat.

Kita sebagai Keluarga Malaysia mesti sentiasa berganding bahu membina negara agar terus maju dan makmur, kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Taburlah jasa bakti untuk negara. Hanya ini sahaja tanah air tercinta. Cintailah sepenuhnya. ‘Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram