Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

DEWAN Negara akan membahaskan usul berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada persidangan petang ini, selepas ia mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

Rais berkata usul yang dibawa Senator Lim Hui Ying itu akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) kerana ia memenuhi tiga syarat iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati perkara ini adalah perkara tertentu, kedua ia adalah bagi kepentingan orang ramai kerana melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara. Perkara ini telahpun disebar luas.

“Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini untuk dibahaskan. Mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3), usul ini akan dibahaskan petang ini dalam dewan ini. Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama tidak lebih daripada 30 minit,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, Lim mengusulkan supaya persidangan Dewan Negara merundingkan perkara berhubung laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Baca artikel berkaitan: LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS didakwa pecah amanah RM21 juta

“Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd menerima kontrak kerajaan Malaysia dengan RM9.1286 bilion untuk membina enam kapal LCS dan lima daripada kapal itu perlu siap dihantar kepada TLDM pada Ogos 2022.

“Namun sehingga kini, tiada sebuah LCS disiapkan walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada syarikat tersebut malah kos projek itu juga melebihi kos asal sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

Lim berkata usul tersebut perlu dibahaskan susulan laporan PAC turut mendedahkan pelbagai kepincangan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam keseluruhan projek perolehan LCS.

Pada 4 Ogos lepas, PAC mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

Pada 11 Ogos lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram