PELANTIKAN Datuk Dr Nooh Gadot sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) disifatkan mampu mempertingkat pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, ia berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti Nooh sebagai bekas Mufti Johor sebelum ini.

Menurut beliau yang juga Setiausaha MKI, Nooh juga terlibat secara langsung dalam institusi kefatwaan khususnya hal berkaitan isu-isu semasa di negara ini.

Hakimah berkata, pelantikan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 pada 30 Jun lalu.

Beliau memaklumkan, Nooh telah dilantik berkuat kuasa 30 Jun sehingga 29 Jun 2024.

“Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI, semalam.

“Jakim menaruh keyakinan beliau akan dapat membantu mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan di negara ini.

“Jakim juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh atas sumbangan beliau sebagai Pengerusi MKI sejak Oktober 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Wan Zahidi Wan Teh dilantik Mufti Perak

Nooh yang sebelum ini Mufti Johor ke-11, adalah anak kelahiran Segamat, Johor pada 7 November 1946 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Pagoh, Segamat, Johor.

Berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar, dalam Al-Ijazah Al-Aliyah (Sarjana Muda) Fakulti Feqah Syariah Al-Islamiyyah dan Wal-Qanun Fakulti Syariah Islam dan Undang-Undang, beliau juga pernah mengikuti beberapa kursus seperti kursus Pengurusan Fatwa Darul Ifta’, Kementerian Keadilan Mesir.

Nooh memulakan kerjayanya sebagai guru agama Kerajaan Johor pada 2 November 1967 dan pernah memegang pelbagai jawatan di Johor selain pernah memangku jawatan sebagai Pegawai Hal-Ehwal Islam, Bahagian Hal-Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1978.

Beliau pada 9 Julai 1998, beliau menjadi Timbalan Mufti Johor sebelum dilantik menjadi Mufti Johor setahun kemudian sehingga 2008.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram