Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

SERAMAI 4,053 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang berjaya ditawarkan lantikan tetap akan mula melapor diri pada 17 Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pegawai yang berjaya boleh memuat turun surat tawaran pelantikan daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mulai 29 Ogos ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan membuka sistem e-placement mulai pertengahan September depan bagi membolehkan pegawai membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian.

Khairy memberitahu, pemakluman mengenai tarikh sistem itu mula dibuka akan dikemukakan kepada pegawai satu minggu lebih awal menerusi e-mel.

“Pengambilan seramai 4,053 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi ini merupakan urusan pengambilan jawatan tetap yang terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak bagi jawatan-jawatan tersebut diperkenalkan pada tahun 2016.

“Pengambilan jawatan tetap ini juga perjawatan tetap tambahan yang pertama kali dilaksanakan sejak tahun 2015,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 4,053 pegawai kontrak ke jawatan tetap tahun ini – KJ

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, perkhidmatan kontrak bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap masih diteruskan mengikut kontrak.

Katanya, mereka yang sedang berkhidmat di bawah khidmat wajib pula akan ditawarkan pelantikan semula secara kontrak selama dua tahun lagi selepas kontrak khidmat wajib tamat bagi tujuan kesinambungan perkhidmatan.

“Selain itu, mereka juga berpeluang dilantik semula secara kontrak selama empat tahun lagi bagi mengikuti pengajian kepakaran.

“Pegawai yang tidak dilantik secara tetap pada kali ini masih berpeluang untuk memohon semula dalam urusan pengambilan secara tetap pada tahun hadapan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan juga telah bersetuju mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi setiap tahun bermula tahun hadapan hingga 2025.

Jelasnya, kerajaan juga bersetuju sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM setiap tahun mulai tahun hadapan bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.

Semalam, Khairy mengumumkan KKM telah meluluskan 4,053 daripada 8,672 permohonan awal membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak tahun ini.

Ia merangkumi pegawai perubatan seramai 3,215 orang, pegawai pergigian (438) dan pegawai farmasi (400) manakala calon simpanan ialah 225 orang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram