“MARILAH kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita.”
Itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengajak rakyat dan seluruh ahli UMNO serta Barisan Nasional (BN) bersolidariti bersama Najib yang bakal berdepan rayuan akhir berkaitan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., Khamis ini.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib mengemukakan bukti baharu adalah keputusan mahkamah dan semua pihak perlu menghormatinya.
Namun begitu, beliau berkata, sebagai rakyat, ahli dan pemimpin parti, keputusan tersebut tidak menghalangnya untuk terus bersama perjuangan Najib dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.
“Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth Is God’s Word.
“Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau telah berikan untuk UMNO, BN dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara.
“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama DS Najib Razak dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca artikel berkaitan: Rayuan terakhir Najib didengar Khamis ini – Tengku Maimun
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan Najib sebagai ‘Raja Media Sosial’ dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat sehinggakan golongan yang pernah menjauhi serta memperlekehkan parti itu sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati tetapi juga menguasai UMNO.
Jelas beliau, Najib berjaya menangkis serangan terhadap UMNO semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
Saat itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.
“Melalui media sosial Facebook, beliau berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data serta fakta.
“Ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, Melaka dan Johor, beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO/BN. Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan UMNO,” jelas beliau.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib bagi menangguhkan pendengaran rayuannya bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya dalam kes berkaitan dana RM42 juta SRC International.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.
“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya.
Ini merupakan rayuan bekas Perdana Menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lepas mengekalkan sabitan Ahli Parlimen Pekan itu, hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

