Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan sidang media ketika hadir ke Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Wisma Pertahanan, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih dalam proses perbincangan Jemaah Menteri.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, beliau telah pun menunaikan ‘janjinya’ dalam Sidang Dewan Negara semalam untuk membawakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut masih dalam proses perbincangan melibatkan semua pihak khususnya menteri.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata, penubuhan RCI untuk projek LCS itu juga perlu mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong.

“Seperti yang saya janjikan kepada Dewan Negara, semalam, saya telah pun membawa isu ini kepada Jemaah Menteri dan ia masih dalam proses (perbincangan) melibatkan semua pihak khususnya menteri.

“Saya tak boleh dedahkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri tetapi ia mesti juga disembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Apbila kita dah dapat keputusan dan pendirian yang jelas, (ia) akan dipersembahkan kepada Seri Paduka,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kabinet secara prinsip setuju laporan audit LCS didedah – Wan Junaidi

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Semalam, Hishammuddin ketika menggulung perbahasan usul mengenai isu LCS memaklumkan cadangan penubuhan RCI akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Ini tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet esok dan saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan beberapa Ahli Dewan Negara hari ini yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu LCS bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram