Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beramah mesra dengan anggota Tentera Laut ketika hadir ke Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Wisma Pertahanan, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PROSES untuk menyiapkan kapal pertama kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan melibatkan sebarang peruntukan dana tambahan baharu.

Itu jaminan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu memastikan kapal pertama LCS itu dapat disempurnakan mengikut tempoh masa dan peruntukan sedia ada.

Sekiranya tidak dapat disiapkan mengikut jadual, Hishammuddin berkata, bagaimana beliau sendiri boleh menaruh keyakinan pihak berkenaan boleh memenuhi keperluan untuk kapal-kapal yang lain.

“Saya nak tengok apa yang telah pun dirancang, dibentangkan kepada Kabinet dan dijawab di Dewan Negara dapat disempurnakan.

“Ujiannya adalah kapal pertama ini dan kapal ini tak akan melibatkan suntikan kewangan yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Penubuhan RCI siasat LCS masih dibincangkan Kabinet

Bagaimanapun ketika ditanya adakah kapal seterusnya akan memerlukan suntikan dana tambahan, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan tersebut.

Namun, Hishammuddin mahu membuktikan dahulu kapal pertama dapat disiapkan.

“Mungkin, tetapi saya nak buktikan bahawa kita boleh siapkan kapal pertama dahulu.

“Kalau kapal pertama pun tak boleh disiapkan, tak guna kita fikirkan dana tambahan,” jelas beliau.

Minggu lalu, Hishammuddin berharap kapal pertama LCS yang dirancang itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan akan memaklumkan laporan tahap penyiapan projek tersebut untuk memastikan kapal berkenaan dapat dibekalkan kepada TLDM mengikut jadual.

Menurut beliau, Kabinet telah memberikan tempoh enam bulan untuk kementeriannya memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek berkenaan.

“Kita diberikan enam bulan selepas keputusan Kabinet untuk memobilisasikan usaha untuk menghidupkan semula projek ini.

“Ia melibatkan libat urus dengan vendor di Perancis dan agensi perbankan.

“Untuk Dewan ini, saya boleh nyatakan sekurang-kurangnya dalam setahun dua ini saya harap kapal pertama dapat kita siapkan.

“Saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat-peringkat, kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM dan saya akan maklumkan kepada Kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan ia mengikut apa yang kita jadualkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris yang mahu tahu jangka masa kapal tersebut dapat disiapkan dalam Sidang Dewan Negara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram