Keadaan motosikal milik mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda susulan kemalangan di Kota Bharu, petang tadi. GAMBAR: Polis

SEORANG mekanik maut selepas tercampak sejauh 20 meter dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas, Kota Bharu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa Mohmad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR disahkan maut di tempat kejadian.

Katanya, mangsa mengalami cedera parah di dada, patah kaki kiri dan bedah siasat akan dilakukan pada pukul 9 malam di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada pukul 1.25 petang sewaktu mangsa sedang menunggang dari arah Tendong ke Jalan Kedai Mulong.

Katanya, sampai di lokasi kejadian, mangsa sedang berhenti di lampu isyarat merah sebelum meneruskan perjalanan setelah lampu bertukar hijau.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta Toyota Hilux yang dipandu secara laju dari arah Kota Bharu ke Pasir Mas, melanggar isyarat lampu merah seterusnya mengakibatkan pelanggaran bersama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak dari motosikal ke arah bahu kiri jalan menghala ke Pasir Mas sejauh 20 meter.

Baca artikel berkaitan : Remaja lelaki, wanita maut tercampak selepas kereta dinaiki terbabas

Jelasnya, pemandu dan tiga penumpang masing-masing berusia 8 hingga 55 tahun tidak mengalami kecederaan dan kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang melanggar lampu isyarat merah.

Malah, hasil saringan ujian air kencing pemandu adalah negatif dadah.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram