PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan minat golongan muda menceburi profesion berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara memandangkan nisbah seorang jurutera berbanding penduduk Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Jepun dan Jerman.
“Saya setuju, gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) malam ini.
Turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan timbalannya Datuk Arthur Kurup serta Yang Dipertua LJM Datuk Seri Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menyarankan agar usaha lebih agresif serta serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar dalam perkhidmatan awam.
Malah katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut disaran melantik kalangan jurutera bagi mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli lembaga pengarah dan ketua eksekutif.
Beliau menjelaskan, dalam usaha memartabatkan profesion itu, jurutera Malaysia perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk serta teknologi yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya pencipta dan pengeluar teknologi. Inilah yang kita harapkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berharap pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 yang kini diusahakan LJM dapat disegerakan agar mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion itu yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan serta keselamatan orang awam.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memberitahu, profesion jurutera telah memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.
Beliau berkata, kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.
“Peranan yang dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia agar setanding dengan negara-negara lain, dengan LJM bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan.
“Justeru, Malaysia sejak dua dekad lalu telah dikenali dunia dengan pembinaan struktur dan mercu tanda ikonik seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, SMART Tunnel, Menara PNB118 dan sebagainya, memperlihatkan kecemerlangan parajurutera kita,” katanya.

