Bekas TMB Kelantan, Abdul Halim meninggal dunia

Dari Penulis

BEKAS Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu petang tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Allahyarham, 83, yang merupakan tokoh yang banyak berjasa kepada negeri itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.40 petang.

“Almarhum merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan khususnya sebagai antara tokoh penting bermula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Almarhum. Semoga Allah SWT mengampunkan dan merahmati serta mengangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad turut berkongsi perjalanan kerjaya politik Abdul Halim yang dilantik Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula pada 1990 sehingga 2004.

Allahyarham juga berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggol pada 1986 hingga 1995, diikuti Adun Kijang (1995-2004) seterusnya Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (2004-2013).

“Almarhum juga merupakan mantan Bendahari PAS Pusat,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Harakahdaily, menantu Allahyarham Zuraidin Abdullah berkata, bapa mertuanya baru-baru ini mendapat jangkitan kuman di paru-paru dan pernah menghidap penyakit kencing manis dan pelbagai penyakit kronik lain.

“InsyaAllah solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Banggol selepas solat Isyak, dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.

“Saya bagi pihak keluarga menjemput orang ramai hadir menunaikan solat jenazah di Masjid Banggol selepas solat Isyak malam ini,” katanya yang juga Adun Chetok.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Aminah Abdullah dan lima anak.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This