KL CITY FC menundukkan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 untuk bergelar juara saingan Zon ASEAN Piala AFC 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan ini bermakna skuad bimbingan Bojan Hodak itu meneruskan kemaraan ke pentas antara zon Piala AFC 2022
Pencapaian itu juga menyaksikan KL City FC menjadi pasukan pertama dari Malaysia memenangi final Zon ASEAN selepas pertandingan terbabit diformat semula pada edisi 2017.
Dalam aksi malam ini, Romel Morales membuka jaringan buat KL City FC pada minit ke-33 sebelum Jordan Mintah menambah gol pada penghujung babak pertama.

Baca: KL City cipta sejarah mara ke final zon ASEAN Piala AFC
Babak kedua bersambung, Paulo Josue menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 3-0 namun PSM Makassar memperoleh gol pertama menerusi rembatan deras Yakub Sayuri pada minit ke-58.
Akbar Tanjung menambah debar apabila menjaring gol kedua PSM Makassar pada minit ke-63.
Josue akhirnya memadam kebangkitan PSM Makassar selepas meledak gol keempat pada minit ke-84 sebelum Hadin Azman melengkapkan malam bergaya KL City FC menerusi satu lagi sepakan penalti beberapa minit sebelum wisel penamat.
KL City FC dijadualkan bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di separuh akhir Antara Zon.
Bagaimanapun penyertaan pasukan itu dibatalkan susulan penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persekutuan Bola Sepak India (AIFF).
Berikutan itu, KL City FC berkemungkinan akan terus ke final Piala AFC Antara Zon untuk bertemu sama ada wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh atau wakil Hong Kong, Eastern.

