FFM32 perkenal anugerah baharu, bawa karya luar bertanding sebagai tanda aras industri filem negara
FESTIVAL Filem Malaysia (FFM32) kembali untuk edisi ke-32 dan bakal berlangsung pada 2 Disember di Melaka.
Tiga kategori baharu telah diperkenalkan iaitu Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik .
Bercakap tentang pencalonan filem luar dalam edisi kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, ia merupakan langkah untuk mengangkat filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, FINAS menyasarkan penyertaan 10 buah negara untuk mengambil bahagian kategori terbabit.
“Sudah sampai masanya kita menganjurkan festival filem sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Ini juga sebagai penanda aras kualiti filem tempatan dan antarabangsa secara lebih proaktif.
“Setakat ini negara seperti Indonesia, Thailand, India dan Pakistan sudah memberi maklum balas yang baik. Selebihnya, pihak kami akan menghubungi beberapa negara lain lagi.
“Tujuan anugerah ini adalah sebagai langkah pengantarabangsaan filem tempatan kita.
“Kami mensasarkan penglibatan 10 filem dan juri-juri untuk kategori ini juga ada melibatkan mereka wakil pengkarya filem antarabangsa,” katanya kepada URTV.

Md Nasir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pertama FFM 32 yang berlangsung di Royal Selangor International, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, secara keseluruhan, sebanyak 22 kategori dipertandingkan dan pendaftaran pencalonan mula dibuka pada 23 Ogos sehingga 30 September ini.
Filem yang layak bertanding adalah karya yang dikeluarkan bermula 15 Julai 2021 hingga 30 September 2022.
Penjurian pula akan dilakukan oleh mereka yang aktif dalam industri perfileman selain memiliki latar belakangkan akademik Malaysia.
“Setakat ini sebanyak 23 filem tempatan yang telah ditayangkan. Pencalonan dibuka untuk filem-filem yang ditayangkan di pawagam dan Astro First, melepasi syarat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) serta tempoh durasi filem adalah sekurang-kurangnya 60 minit.
“Penjurian masih menggunakan konteks sama seperti edisi sebelum ini. Barisan juri adalah mereka yang berpengalaman dan sesuai dengan keperluan setiap kategori.
“Filem tempatan yang ditayangkan di aplikasi penstriman seperti Netflix dan Viu bagaimanapun tidak dipertandingkan,” kongsinya.
Mengisi penganjuran kali ini, pelbagai program sisipan lain turut dirancang bagi memeriahkan sambutan selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang industri filem tempatan.
Antara yang bakal dilaksanakan adalah tayangan filem bertanding, sesi bertemu calon FFM32, tayangan filem kenegaraan dan bengkel bersama FINAS.
FFM32 mengangkat tema Filem Kita Citra Kita itu merupakan anjuran FINAS dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta RTM sebagai penyiar rasmi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

