PENGANJUR perhimpunan penyerahan memorandum untuk memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Negara, semalam disiasat polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, satu kertas siasatan telah pun dibuka membabitkan perhimpunan yang dianjurkan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) itu.
Menurut Amihizam, pihaknya mendapati penganjur perhimpunan itu tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.
“Pada pukul 2 petang semalam, semasa sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Balai Polis Travers menjalankan penugasan kawalan keselamatan serta pemantauan di luar pintu 3 Istana Negara, didapati terdapat perhimpunan penyerahan memorandum oleh PJPNM.
“Dianggarkan seramai 300 orang berpakaian serba hitam telah berkumpul sambil melaungkan slogan ‘Hidup Najib’ dan ‘Bossku’.
“Kertas siasatan akan dibuka dan polis akan memanggil penganjur perhimpunan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Besar kemungkinan Najib akan diampun – Tun Mahathir
Mengulas lanjut, Amihizam turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam.
“Polis juga menyeru orang ramai supaya tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran yang sah,” jelas beliau.
Semalam, seramai kira-kira 300 penyokong Najib berkumpul di hadapan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penyerahan memorandum itu hanya sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Perhimpunan itu memohon dua perkara termasuk pengampunan serta-merta diberikan kepada Najib.
Mereka turut memohon beberapa figura penting termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Pengarah Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk menghadap baginda bagi menjelaskan mengenai konflik kepentingan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

