PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa cuba mengatur strategi menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua dengan mengetuai ‘khemah besar’.
Perkara itu didedahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir seperti dipetik BH Online, hari ini.
Mukhriz mendakwa, Muhyiddin menawarkan diri menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Jerlun memaklumkan, Perdana Menteri kelapan itu juga berhasrat menggabungkan Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, Mukhriz mendedahkan, Muhyiddin turut mahu parti lain termasuk Pejuang, Parti Warisan dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai gabungan tersebut.
Menurut Mukhriz, Muhyiddin berjumpa Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad empat hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tanpa ada permohonan maaf selepas Dr. Mahathir disingkirkan daripada Bersatu.
“Dia (Muhyiddin) kata dah tiga kali jumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bila Anwar tanya struktur kepimpinan Khemah Besar, Muhyiddin kata Anwar tak boleh jadi Perdana Menteri sebab dia ketuai parti campuran, jadi Muhyiddin jadi Perdana Menteri.
Baca artikel berkaitan: GTA tidak akan kerjasama dengan ‘penjenayah’, nafi pecah-belahkan Melayu
“Ini satu syarat yang begitu besar untuk lantik dia jadi Perdana Menteri. Kalau ikhlas, sepatutnya bincang mengenai gabungan dulu tapi bila datang dan tawar jadi Perdana Menteri kali kedua, rasa tak sesuai sangat.
“PEJUANG setuju atau tak, ia tak beri kesan kerana kami empat orang saja. Kalau PH setuju, maka jadilah cadangan ini tapi seperti yang kita agak, mereka pun tak setuju,” katanya.
Mengulas lanjut, Mukhriz memaklumkan beliau ketika itu mengharapkan cadangan gabungan yang lebih mengetengahkan barisan pemimpin muda dalam pelbagai parti, manakala pemimpin senior sebagai penasihat.
“Harapan saya ketika itu supaya pemimpin senior yang berpengalaman diangkat dalam majlis penasihat atau ‘Council of Elders’, manakala lapisan kedua diisi pemimpin muda yang sudah tiba masa diberi peranan penting dalam pembentukan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhkriz dalam ucapannya mengakui Pejuang mempertimbang untuk bergabung dengan parti-parti lain seperti PH, Pas, PKR serta UMNO yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun begitu, kata beliau, parti itu akhirnya memutuskan untuk mewujudkan Gerakan Tanah Air (GTA).
Ini kerana, Mukhriz berkata, ramai ahli Pejuang tidak boleh menerima kerjasama dengan Bersatu manakala UMNO pula masih tidak berubah sikap dan kekal seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pas pula, dakwa Mukhriz masih terus mempergunakan agama untuk kepentingan parti, sementara ramai akar umbi Pejuang tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana DAP.
“Maka kita putuskan kena tubuh gabungan baharu iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

