TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli akan dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengenai isu kapal tempur pesisir (LCS).
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia susulan laporan yang dilakukan pegawai khas kepada Abd. Latiff pada pukul 9.28 malam semalam.
Menurut Eng Lai, siasatan pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku pada 22 Ogos lalu.
Eng Lai berkata, pengadu telah terbaca satu hantaran di blog rafiziramli.com mengenai fitnah dan tohmahan didakwa mengandungi pembohongan dengan merosakkan nama baik Abd. Latiff.
“Pengadu menafikan dakwaan bahawa Abd. Latiff mempunyai seorang isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan bernilai puluhan juta ringgit bagi projek LCS semasa beliau menjadi Timbalan Menteri.
“Hasil semakan polis mendapati kenyataan berkenaan telah disiarkan di laman web rafiziramli.com; laman Facebook dan Twitter Rafizi pada beberapa tarikh berlainan.
“Selain itu, pada 25 Ogos lalu, terdapat dua video yang berkaitan telah disiarkan melalui akaun TikTok dan Instagram Rafizi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: ‘Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Mohd Salleh’ – Abd. Latiff
Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik.
“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” jelas beliau.
Semalam, pegawai khas Abd Latiff, Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad dilaporkan telah membuat laporan polis terhadap Rafizi.
Sayed Ahmad Mui’izzuddin berkata, laporan itu dibuat berhubung kenyataan Rafizi yang mengaitkan Ahli Parlimen Mersing itu dengan wanita bernama Zainab Mohd. Salleh yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek LCS.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

