DUA penganggur ditangkap dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di Jalan Perdana 2/7, Pandan Perdana, Ampang, semalam.
Suspek ditahan tidak sampai 24 jam selepas mangsa, seorang pengarah syarikat membuat laporan polis pada pukul 11 pagi.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa memaklumkan segulung wayar kabel bersaiz 50 milimeter bernilai RM2,000 telah dicuri di hadapan kedai.
Beliau berkata, suspek masing-masing berusia 38 dan 39 tahun ditahan di kawasan Pudu Cheras pada pukul 10 malam
Katanya, turut dirampas pakaian dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian.
“Bagaimanapun, kabel yang dicuri dipercayai telah dijual di kedai besi buruk dekat Kampung Pandan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah dan jenayah curi.
Manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod lampau pelbagai kesalahan dadah.
Jelasnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

